KETUA PEMBANGKANG, Datuk Seri Anwar Ibrahim menolak tanggapan sebahagian pihak yang beranggapan bahawa Pakatan Harapan (HARAPAN) wajib menyokong Rang Undang-Undang Belanjawan 2022 selepas termeterainya Memorandum Persefahaman (MoU) dengan kerajaan.
Ahli Parlimen Port Dickson itu ketika membahaskan titah Agong di Dewan Rakyat di Parlimen berkata, HARAPAN terbuka untuk menyokong atau mengambil berkecuali selepas proses RUU itu dirunding dan dipersetujui meskipun Mou itu telah ditandatangani mereka.
“Ada yang menganggap apabila termeterai MoU ini HARAPAN wajib menyokong Belanjawan 2022. Itu tidak benar.
"Dalam MoU ini disebut kita boleh mengambil pendirian menyokong, berkecuali, bagi undi Belanjawan 2022 selepas proses penggubalan RUU tersebut dirunding dan dipersetujui.
“Ini bermakna tanggungjawab Menteri Kewangan dan pembangkang untuk mengambil sikap terbuka bersedia duduk berunding,” katanya.
Sementara itu, Anwar mengingatkan agar pentadbiran Ismail Sabri Yaakob tidak bersikap seperti pentadbiran terdahulu.
Beliau beliau tidak mahu situasi ketika rundingan bagi RUU Belanjawan 2021 berulang.
“Jangan seperti Belanjawan 2021 Menteri Kewangan panggil (pembangkang) ada perbincangan kemudian dia longgok dalam belanjawan, anggap kita dah setuju dan terima.
“Kalau nak ada kerjasama, untuk kita menyokong dan berkecuali mesti ada proses rundingan dan kita bersetuju perkara-perkara asas,” katanya lagi.
Kerajaan persekutuan dan HARAPAN diketuai Anwar memeterai MoU Transformasi dan Kestabilan Politik pada Isnin.
![]() |
Anwar tolak tanggapan HARAPAN telah terikat |
Selain Anwar dan Ismail, ia turut ditandatangani Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Presiden UPKO Wilfred Madius Tangau.
0 Comments