Adam Adli, Asheeq Ali sertai KEADILAN secara rasmi


AKTIVIS SOSIAL
yang juga bekas pemimpin pelajar, Adam Adli Abdul Halim mengumumkan menyertai Parti KEADILAN hari ini.


Perkara itu diumumkan sendiri Presiden parti itu,Datuk Seri  Anwar Ibrahim dalam sidang media yang turut dihadiri Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Akmal Nasir di ibu pejabat parti itu dekat Petaling Jaya pagi tadi.

Selain Adam Adli, turut menyertai parti itu secara rasmi hari ini adalah aktivis bebas, Sarah Hadi dan peguam, Asheeq Ali Sethi Alivi bersama 20 aktivis muda lain.

Dalam ucapan alu-aluannya, Anwar menyuarakan rasa bangga dengan penyertaan mereka yang disifatkannya sebagai kalangan yang mempunyai idealisme dan komited dalam perjuangan.

"Apabila Adam, Asheeq dan beberapa teman mereka menemui saya, saya berasa bangga. (KEADILAN kini dianggotai) kalangan aktivis muda yang terkenal dengan idealisme, komitmen dan perjuangan mereka.

"Mereka bukan anggota rasmi Rasmi (sebelum ini) tetapi penggerak reformasi rakyat," katanya dalam sidang media ketika acara itu.

Menyentuh isu sama ada ada antara mereka akan diketengahkan sebagai calon pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, Anwar menegaskan bahawa penyertaan hari ini tidak bermakna mereka akan ditampilkan sebagai calon.

Bakal kukuh KEADILAN dikalangan anak muda
Katanya, walaupun senarai nama diusulkan pimpinan parti di peringkat negeri, namun terdapat saringan akan dilakukan terlebih dahulu.

“(Senarai) nama memang diusulkan, tapi ada saringan di peringkat jawatankuasa tertentu yang perlu dilakukan.

“Bagi saya, tumpuan utama kita ketika ini ialah untuk memperkuatkan jentera dan mereka ini (aktivis muda) boleh menolong kita, turun padang dan menerangkan kenapa mereka memilih untuk menyertai KEADILAN,” katanya lagi.

Post a Comment

0 Comments