Bekas menteri ambil inisiatif sendiri bantu sistem pendidikan

 



AHLI PARLIMEN Simpang Renggam Dr Maszlee Malik mengambil inisiatif sendiri menyediakan cadangan dasar-dasar bagi membantu sistem pendidikan negara berdepan dengan pascapandemik Covid-19.

Bercakap dalam satu sidang media ketika melancarkan pelan dinamakan  “Ringkasan Penyata Polisi Pendidikan dan Wabak Covid-19: Solusi Buat Malaysia” itu di Parlimen, Maszlee yang merupakan bekas menteri pendidikan berkata, satu pelan besar dan perancangan jangka panjang yang strategik untuk pendidikan selepas pandemik berakhir wajar dilaksanakan

Ia sejajar dengan titah yang di-Pertuan Agong yang menyebut tentang keperluan pelan pendidikan pascapandemik bersifat holistik dan komprehensif.

“Saya telah meminta berulang kali dari kerajaan Perikatan Nasional (PN)dahulu agar dikemukakan pelan seumpamanya.

“Malangnya sehingga hayat 17 bulan kerajaan PN, tiada pelan seumpamanya dikemukakan.

“Saya insaf bahawa sekadar mempersoalkan dan menggesa tidak akan membawa kita ke mana-mana, berdasarkan kesedaran tersebut saya telah cuba untuk mengemukakan satu pernyataan polisi atau pelan cadangan kepada kerajaan yang baru untuk mereka bergerak ke hadapan,” katanya.

Difahamkan antara perkara yang dinyatakan dalam ringkasan penyata polisi itu merupakan syor cadangan menangani “generasi yang hilang” dalam kalangan kanak-kanak di program perumahan rakyat (PPR) yang tidak mampu mendapatkan capaian internet sewaktu pengajaran dan pembelajaran di rumah (PDPR).

Ia turut menyentuh cara menangani pembelajaran melalui TV pendidikan dengan kaedah yang lebih menarik, di mana cadangan supaya KPM mengemaskini Inisiatif Pembelajaran Pendidikan Digital Malaysia (Delima), untuk dijadikan portal TV pendidikan ala-Netflix untuk kegunaan yang lebih santai mengikut kemudahan para pelajar dan guru.

Kementerian juga dicadangkan supaya menghasilkan bahan-bahan bimbingan untuk ibu bapa bagaimanakah cara membimbing anak-anak sewaktu PdPR, memandangkan ramai ibu bapa yang tidak tahu bagaimanakah cara untuk membantu anak-anak mereka.

Belum ada respon dari menteri terbabit
Maszlee sementara itu berkata ringkasan penyata polisi sebanyak 65 muka surat itu diserahkan kepada Menteri Pendidikan Radzi Jidin dan Menteri Pengajian Tinggi Noraini Ahmad.

Bagaimanapun menurutnya, dia masih tidak menerima sebarang maklum balas sama ada kedua-dua menteri tersebut berminat untuk mengadakan perbincangan bersama berhubung polisi itu.
 

Post a Comment

0 Comments