Mou berkaitan prinsip, bukan macam tawaran ‘schemes of thing’


KESEMUA
tawaran kerajaan Ismail Sabri Yaakob yang dikemuka dalam memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan dan HARAPAN yang dimetera ipada Isnin menumpukan kepada isu prinsip.

Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abd Samad berkata, perkara terkandung dalam tawaran itu merupakan  saranan reformasi Parlimen yang sememangnya menjadi teras dalam perjuangan Pakatan harapan (HARAPAN) sejak era ‘Reformasi’.

“Ianya bukan semenyeluruh seperti yang diperjuangkan HARAPAN, namun tiada yang boleh menafikan ianya sebahagian dari agenda ‘Reformasi’ yang pernah dan sedang dibawa.

“Hampir kesemua tawaran Ismail ini adalah bersifat prinsip dan perjuangan, bukannya tawaran jawatan untuk para ahli Parlimen sebagaimana tawaran ‘schemes of thing’ yang ditawarkan kepada Ahli Parlimen BN dan PN oleh Mahiaddin sebelum ini,” kata Ahli Parlimen Shah Alam itu.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi HARAPAN, Fahmi Fadzil berkata, antara perkara dipersetujui dalam memorandum itu adalah bahawa Parlimen tidak akan dibubarkan sebelum 31 Julai tahun hadapan.

“HARAPAN kekal pembangkang. Parlimen tak dibubar sebelum 31.7.2022.

“Dokumen lengkap menyusul,” kata Ahli Parlimen Lembah Pantai itu.

Mengulas lanjut mengenai MoU itu, Fahmi menegaskan bahawa ia antara lain menumpukan hal berkaitan bantuan rakyat, penambahbaikan usaha menangani Covid-19 dan reformasi Parlimen.
 
Semalam HARAPAN terdiri daripada KEADILAN, Amanah, DAP dan Upko menandatangani perjanjian persefahaman dengan kerajaan dipimpin Ismail Sabri Yaakob.

 Bukan seperti tawaran dibuat Mahiaddin
Langkah memuktamadkan MoU antara kerajaan Persekutuan dan HARAPAN itu dicapai selepas beberapa pusingan rundingan diadakan.

Menerusi kenyataan bersama wakil kerajaan dan HARAPAN, kedua-dua pihak bersetuju untuk mendedahkan sepenuhnya MoU itu kepada umum sebagai komitmen terhadap keterbukaan penuh dan kebertanggungjawaban.