Mana ikrar PAS nak hapuskan judi, soal A Kadir Jasin


WARTAWAN Veteran, A Kadir Jasin mengkritik reaksi PAS terhadap isu cabutan khas judi yang kini diperkata umum.

Melalui hantaran terbaharunya di media sosial A Kadir berkata, PAS bersikap seolah-olah melepaskan batuk ditangga berhubung jawapan mereka dalam isu itu.

Beliau turut mempersoalkan mengapa PAS tidak membuat bantahan keras berhubung peningkatan bilangan cabutan judi itu sedangkan mereka sebelum ini mencanangkan kepada rakyat bahawa mereka adalah parti yang membela Islam.

"Kalaulah PAS ini betul-betul berpegang kepada Islam seperti didakwa dan dihebahkan kepada para walaknya, tentu ia membantah dengan sekeras-kerasnya sehingga keluar kerajaan jika perlu.

"Tetapi reaksi PAS tidak lebih daripada melepas batuk di tangga saja," kata bekas ketua pengarang kumpulan The New Straits Times Press (M) Bhd itu.

PAS kini dikecam pelbagai pihak atas kedudukan mereka dalam kerajaan selepas Kementerian Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz membenarkan semua syarikat perjudian kembali melakukan 22 kali cabutan khas sepanjang tahun ini berbanding hanya 8 kali ketika era Pakatan Harapan (HARAPAN).

Cabutan khas itu adalah tambahan kepada aktiviti cabutan judi mingguan yang dilakukan dari semasa ke semasa.

Terdahulu, seorang pemimpin parti Amanah, Datuk Mahfuz Omar mempersoalkan di mana peranan Pemimpin PAS dalam kabinet untuk menghalang keputusan kerajaan yang membenarkan kekerapan cabutan judi dinaikkan.

Naib Presiden Amanah itu dalam satu rancangan temubual berkata beliau tidak nampak ketegasan pemimpin PAS dalam isu tersebut.

“Sebelum ini, PAS selalu dendang kan dialah ‘king maker’. Dalam keadaan inilah PAS kena jadi ‘king maker’.

“PAS boleh sahaja bagi kata dua, kalau tidak kurangkan cabutan judi kami akan tarik diri. Tapi PAS sendiri cakap tidak serupa bikin,” kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Sementara itu A Kadir berkata, sejak sekian lama, modal besar PAS semasa berkempen ialah kerajaan BN tidak Islamik kerana membenarkan kegiatan judi dan penjualan arak.

Malah PAS juga berikrar untuk mengharamkan kegiatan tersebut apabila mereka berkuasa.

"Itulah antara janji PAS kepada para walaknya, atau walaun mengikut istilah media sosial.

"Sekarang, apabila PAS duduk dalam kerajaan, dapat jawatan kabinet dan Menteri Kewangan pula orang Melayu-Islam berketurunan raja bernama Tengku Zafrul Abdul Aziz, bukan sahaja judi tidak diharamkan malah diperkasakan.

Reaksi PAS seolah-olah lepas batuk di tangga
"Manakala pemimpin Melayu-Islam PN pula nampak macam tidak berapa peduli asalkan hasil kerajaan ada untuk membayar gaji, elaun, pencen dan segala kemudahan mereka," katanya.," katanya sambil berkata tidak mungkin Tengku Zafrul bertindak bersendirian  untuk meluluskan permohonan daripada agensi nombor ramalan untuk menambah bilangan cabutan khas tersebut.

Post a Comment

0 Comments