KERAJAAN dipersoal tentang motif mereka enggan mendedahkan laporan akhir Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) selepas kajian mengenainya selesai dibuat.
Dalam kenyataan bersama Pakatan Harapan (HARAPAN) Sabah berkata langkah itu seolah-olah menunjukkan Putrajaya mahu 'menguburkan' laporan akhir berkenaan menggunakan Akta Rahsia Rasmi (OSA).
"Apa yang yang hendak disembunyikan? MA63 adalah perkara yang paling kerap kali dibincangkan secara terbuka di negara ini," kata kenyataan itu.
Kenyataan itu ditandatangani Pengerusi KEADILAN Sabah, Christina Liew, Wilfred Madius Tangau (Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu - Upko), Frankie Poon Ming Fung (DAP) dan Lahirul Latigu (Amanah).
Terdahulu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Maximus Ongkili pada 23 September lalu mengesahkan kerajaan tetap dengan pendirian bahawa tiada keperluan untuk mereka mendedahkan laporan akhir MA63 kepada umum.
Maximus berkata, isi kandungan dan perbincangan yang direkodkan bersifat teknikal, bertaraf rahsia rasmi kerajaan dan masih dalam proses perundingan.
Walau bagaimanapun HARAPAN Sabah mengkritik kenyataan itu dengan menegaskan bahawa sebagai menteri yang berasal dari Sabah Maximus sepatutnya memastikan MA63 dihormati dan dilaksanakan sepenuhnya.
Justeru tegas mereka, laporan berkenaan wajar didedahkan kepada umum adalah peluang untuk rakyat Malaysia menghayati dan memahami kepentingan MA63.
"Kesilapan tafsiran sejarah dan fakta mengenai MA63 menjadi salah satu sebab mengapa pelaksanaan sepenuhnya perjanjian tersebut masih menjadi cabaran meskipun setelah 58 tahun pembentukan Malaysia.
"Sudah tiba masanya kerajaan persekutuan mengambil pendekatan yang bertanggungjawab dengan menyatakan fakta sebenar.
"Telah banyak kekhilafan yang dilakukan dalam perlunturan hak-hak Sabah dan Sarawak selama ini," kata mereka lagi.
![]() |
Apa motif sebenar kerajaan? |
Baki empat lagi iaitu mengenai isu royalti minyak dan pembayaran tunai petroleum; mineral minyak dan medan minyak; Akta Laut Wilayah 2012 dan hak negeri ke atas pelantar benua sedang dibincangkan.
Berbeza dengan kerajaan hari ini, HARAPAN ketika menjadi kerajaan dilihat lebih bersikap telus dalam isu tersebut.
0 Comments