AUKUS: Jangan buat kenyataan seperti kita duduk bawah telunjuk China


 PUTRAJAYA digesa supaya tidak membuat sebarang kenyataan yang akan dilihat berpihak kepada mana-mana kuasa besar dunia.

Gesaan itu disuarakan Majlis Presiden Pakatan Harapan (HARAPAN) susulan kenyataan Menteri Pertahanan, Hishammuddin Hussein bar-baru ini yang berkata kerajaan akan meminta pandangan China mengenai isu perjanjian tiga hala mengenai pembelian kapal selam berkuasa nuklear antara Australia, United Kongdom dan Amerika Syarikat (Aukus).

Mengulas kenyataan tersebut, Majlis Presiden beranggapan kenyataan Hishamuddin itu  dilihat agak aneh dan menimbulkan persepsi seolah-olah Malaysia menerima arahan daripada China.

Malaysia menurut mereka dipandu oleh Kertas Putih Pertahanan yang telah diluluskan di parlimen secara dwipartisan pada 2 Disember 2019 yang antara lain menegaskan bahawa kita mengamalkan "Keneutralan aktivis" iaitu dasar berkecuali.

"Keneutralan aktivis tidak bermaksud Malaysia berpeluk tubuh apabila ada percubaan untuk menjejaskan kedaulatan negara dan sikapnya untuk berkecuali.

"Malaysia seharusnya bersuara lantang terhadap kuasa Barat sekiranya berlakunya persaingan senjata di rantau ini. Pada masa yang sama, Malaysia juga perlu mempengaruhi China secara aktif supaya menghormati kedaulatan negara-negara serantau, serta peranan Asean di rantau ini.

"Kita tidak boleh dilihat memihak dan memberi gambaran bahawa Malaysia menerima arahan daripada mana-mana pihak," kata Majlis tersebut.

Majlis Presiden dianggotai Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Amanah, Mohamed Sabu dan Lim Guan Eng yang mewakili DAP.

Aukus adalah kerjasama keselamatan, perisikan dan teknologi ketenteraan antara tiga negara itu, namun isu pemerolehan kapal selam berkuasa nuklear mengundang paling banyak perhatian.

Menerusi kerjasama itu, Australia dilapor akan membangunkan kapal selam tersebut di Adelaide. Langkah itu dilihat sebagai usaha blok Barat untuk melawan pengaruh China yang semakin meningkat dan kehadiran tenteranya khususnya di Laut China Selatan.

Rabu lalu, Hishammuddin memberitahu Dewan Rakyat bahawa Malaysia akan mendapatkan pandangan China khususnya dalam aspek pertahanan berhubung pembentukan kerjasama tiga hala itu. Kenyataan itu kemudian dikritik.

Malaysia sepatutnya amal dasar berkecuali
Ini bukan kali pertama Ahli Parlimen Sembrong itu mendapat kritikan berhubung kenyataannya yang melibatkan China.

Pada April lalu, Hishammuddin dikritik setelah dia menggelarkan China sebagai 'abang' semasa sidang media dengan rakan sejawatannya dari China, Wang Yi di Beijing.


Post a Comment

0 Comments