Judi: mana kuasa 'king maker' PAS



BEKAS Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar mempersoalkan di mana peranan Pemimpin PAS dalam kabinet untuk menghalang keputusan kerajaan yang membenarkan kekerapan cabutan judi dinaikkan.

Melalui program The Perspektif yang disiarkan secara langsung di Facebook Parti Amanah Negara malam tadi, Mahfuz yang juga merupakan Naib Presiden Amanah berkata beliau tidak nampak ketegasan pemimpin PAS dalam isu tersebut.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu turut mempersoal dimana retorik yang dicanang PAS sebelum ini bahawa mereka boleh menjadi penentu kepada hala tuju pentadbiran negara.

“Sebelum ini, PAS selalu dendangkan dialah ‘king maker’. Dalam keadaan inilah PAS kena jadi ‘king maker’.

“PAS boleh sahaja bagi kata dua, kalau tidak kurangkan cabutan judi kami akan tarik diri. Tapi PAS sendiri cakap tidak serupa bikin,” katanya.

Beliau turut membandingkan keberanian parti Bersatu dalam menyatakan pendirian mereka yang memberi kata dua kepada kerajaan Ismail Sabri Yaakob supaya tidak melantik 'kluster mahkamah' ke dalam kabinet atau mereka akan menarik semula sokongan.
 
“Kalau Bersatu boleh, kenapa Pas tidak boleh? soalnya.

Isu judi hangat diperkatakan apabila soalan berkaitan kekerapan judi dibangkitkan oleh Mahfuz kepada Menteri Kewangan di Dewan Rakyat.

Semasa pentadbiran persekutuan Pakatan Harapan berjaya mengurangkan jumlah cabutan khas tahunan dari 22 kepada 11 pada tahun 2019, dan jumlah itu dikurangkan kepada lapan pada tahun 2020.

Namun, pemerintah Perikatan Nasional (PN), yang mengambil alih kerajaan, jumlah cabutan khas di naikkan semula menjadi 22. Tambahan cabutan khas itu disahkan oleh Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz di Dewan Rakyat pada 20 September.

Sebagai rekod, PAS adalah anggota kerajaan PN dan juga adalah sebahagian daripada pemerintahan semasa yang diterajui Ismail Sabri.

Sementara itu Mahfuz turut menzahirkan rasa kecewa apabila Menteri Kewangan yang beragama Islam boleh meluluskan 22 cabutan khas judi berbanding Menteri Kewangan Pakatan Harapan yang bukan bergama Islam mengurangkan kepada 8 cabutan.

Mana suara PAS dalam Kabinet?
“DAP ditakut-takutkan sebagai musuh Islam, beri ancaman kelangsungan orang Melayu Islam tetapi ada komitmen yang tinggi untuk bawa negara keluar dari perkara yang tidak baik.

“Menteri bukan Islam pun tahu, tunjuk contoh yang baik dari 22 kali turun kepada 8 kali,” katanya lagi.

Post a Comment

0 Comments