Husam menang, Mahkamah tolak rayuan Masri Che Yusoff


MAHKAMAH
Rayuan Putrajaya sebulat suara menolak rayuan Masri Che Yusoff terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Bharu yang telah membenarkan saman dan tuntutan Senator Dewan Negara, Husam Musa.

Dalam penghakiman ringkas panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan Dato’ Suraya Othman, Dato’ Lee Heng Cheong dan Dato’ Indera Mohd Suffian Tan Sri Abd Razak memutuskan bahawa Husam telah berjaya membuktikan tulisan Facebook tersebut satu fitnah.

Masri gagal membuktikan tiga pembelaan yang dibangkitkan iaitu justifikasi, ulasan saksama dan perlindungan bersyarat.

"Kami berpendapat yang arif hakim (hakim Mahkamah  Tinggi) tidak terkhilaf dalam dapatan dan keputusannya. Oleh itu kami mendapati tiada merit dalam rayuan ini dan kami menolak rayuan ini dengan kos," kata Hakim Suraya yang mengetuai panel itu.

Peguam Faiz Fadzil yang mewakili Husam pula dalam satu kenyataan memaklumkan keputusan Mahkamah Tinggi Kota Bharu pada 26 Jun 2018 itu dikekalkan.

Masri melalui akaun Facebook miliknya pada 27 Oktober 2015 menyiarkan gambar dan tulisan yang menuduh Husam secara salah memberikan kepada sebuah syarikat tanah seluas 414.37 hektar yang mana tuduhan ini dinafikan Husam.

Masri ketika itu adalah anggota Dewan Ulama PAS
Masri menulis di Facebook tersebut adalah ahli jawatankuasa PAS Kawasan Ketereh dan anggota Dewan Ulamak Pas Kelantan.

Susulan keputusan terbaharu itu, Masri perlu membayar jumlah gantirugi seperti yang ditetapkan Mahkamah Tinggi Kota Bharu pada 10 Februari lalu sebanyak RM150,000 kepada Husam.

Menurut Faiz, jumlah ganti rugi itu kekal kerana tiada rayuan difailkan di pihak Masri.