BEBERAPA Ahli Dewan Rakyat mencadangkan reformasi Parlimen dilaksana segera termasuk dengan memanjangkan tempoh persidangan dewan.
Kasthuriraani Patto (Batu Kawan) dan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil dari Pakatan Harapan (HARAPAN) mencadangkan perkara itu supaya Dewan dapat memberi ruang perbincangan yang lebih bermakna mengenai pelbagai isu.
“Kita perlu persidangan Parlimen lebih panjang. (Contohnya) Parlimen UK bersidang selama kira-kira 150 hari dalam setahun, iaitu hampir setengah tahun,” kata Kasthuri.
Fahmi yang merupakan Pengarah Komunikasi KEADILAN pula berkata, langkah memanjangkan tempoh persidangan itu wajar, Malaysia jika dibandingkan dengan negara lain hanya menjalankan mesyuarat Parlimen dalam tempoh singkat iaitu diantara 50 hingga 78 hari dalam setahun.
"Jika dibandingkan dengan negara lain, beberapa dari mereka hanya berehat pada musim panas, musim sejuk dan Krismas," tambahnya dipetik.
Mereka sebelumnya dijemput membicarakan isu reformasi Parlimen dalam program bertajuk ‘Ground Zero: Kemana Hala Tuju Pembaharuan Parlimen?’ yang disiarkan secara dalam talian.
Program itu yang diacarakan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Wilfred Madius Tangau turut menjemput Ahli Parlimen Pengerang, Azalina Othman Said, dan Ahli Parlimen Kangar, Noor Amin Ahmad sebagai penelis.
Bekas Timbalan Speaker Dewan yang meletak jawatan, Azalina semasa sesi tersebut menekankan perlunya Parlimen terus berjalan walaupun dalam tempoh pendemik.
Mengambil contoh apa yang berlaku di negara luar, Ahli Parlimen Pengerang itu berkata bahawa Parlimen UK juga tidak berhenti mengadakan sesi semasa Perang Dunia Kedua.
Bagaimanapun jelasnya, bagi membolehkan parlimen terus bersidang termasuk melalui sidang hibrid, beberapa pindaan termasuk Aturan Mesyuarat perlu dilaksanakan.
Dalam program sama, Noor Amin membangkitkan isu undang-undang yang bertujuan untuk memastikan institusi itu mengatur tadbir urusannya sendiri tanpa sebarang campur tangan.
Ahli Parlimen dari KEADILAN itu berkata, Parlimen tidak mempunyai Akta Perkhidmatan Parlimen (PSA), yang bermaksud ia masih tertakluk kepada eksekutif.
![]() |
Tempoh sidang Parlimen mesti dipanjangkan |
Beliau turut menekankan pentingnya jawatankuasa pemilihan parlimen, kerana katanya ahli Parlimen diberi kuasa dalam jawatankuasa itu untuk memanggil individu yang mereka rasa dapat memberikan pandangan mengenai dasar atau isu tertentu yang dibincangkan.
"Dalam jawatankuasa pemilihan, Ahli Parlimen memiliki lebih banyak pengaruh untuk draf undang-undang," katanya.
Kasthuri yang mengulas perkara dibangkitkan Amin itu turut mencadangkan agar tidak ada had jumlah ahli parlimen yang dibenarkan berada dalam jawatankuasa ditubuhkan berbanding jumlah maksimum yang ditetapkan adalah sembilan ahli parlimen sahaja.
Mereka sementara itu sama-sama bersetuju bahawa rang undang-undang harus melalui jawatankuasa pemilihan terlebih dahulu sebelum dibentangkan di Dewan Rakyat.
0 Comments