Cabaran kesahan pengampunan Anwar oleh Buzze Azam dibatalkan.


MAHKAMAH RAYUAN
membatalkan saman seorang peguam yang mempersoalkan kesahan pengampunan diraja kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi sabitan dalam kes fitnah liwatnya.

Keputusan itu dibuat Panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan yang terdiri daripada Datuk Has Zanah Mehat, Datuk Indera Mohd Sofian Abd Razak dan Datuk Lee Heng Cheong terhadap saman oleh Mohd Khairul Azam Abdul Aziz.

Dalam keputusan tersebut, hakim dakwaan Mohd Khairul Azam terhadap perayu iaitu Anwar jelas tidak kukuh kerana beliau tidak menyatakan sebarang alasan tindakan saman tersebut.

Hakim turut menegaskan Mohd Khairul Azam tidak mempunyai hak untuk mempersoalkan pengampunan atau nasihat yang diberikan oleh Lembaga Pengampunan itu kepada Yang-di Pertuan Agong dalam memberi pengampunan.

"Kami mendapati proses pengampunan dan pemberian pengampunan oleh Yang-di Pertuan Agong kepada perayu (Anwar) tidak dalam apa cara pun menyerang peribadi atau undang-undang atau sebarang hak atau kepentingan responden (Mohd Khairul)," kata hakim.

Mohd Khairul Azam, yang memfailkan saman pemula terhadap pengampunan Anwar pada 26 Feb tahun lepas dengan mendakwa beberapa tindakan tidak berperlembagaan telah diambil bagi memastikan Anwar menerima pengampunan yang membebaskannya dari penjara selepas Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14.

Peguam itu mendakwa pengampunan penuh yang diberikan kepada Anwar oleh Yang di-Pertuan Agong bercanggah dengan Perkara 42(4) dan (5) Perlembagaan Persekutuan berikutan kuasa pengampunan oleh Yang di-Pertuan Agong hendaklah dilaksanakan atas nasihat Lembaga Pengampunan.

Dia menamakan Lembaga Pengampunan dan Anwar selaku defendan.

Sementara itu panel hakim menegaskan bahawa keputusan dibuat berdasarkan pelaksanaan hak pengampunan diraja tidak dapat diubah atau disahkan oleh mahkamah dan oleh itu tidak dapat diadili.

Kuasa pengampunan terdapat di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan. Hakim itu berkata mahkamah juga mendapati Lembaga Pengampunan dibentuk secara sah dan betul di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Mahkamah tolak saman pemula Buzze Azam
Dalam prosiding secara dalam talian hari ini, Anwar diwakili peguam Datuk Seri Gopal Sri Ram yang mewakili Anwar, Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan bagi pihak Lembaga Pengampunan.

Sri Ram berhujah bahawa hakim Mahkamah Tinggi tidak mempunyai kuasa untuk tidak mematuhi keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Sim Kie Chon lawan Superintenden Penjara Pudu & lain yang menyatakan bahawa kuasa pengampunan yang diperuntukkan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan adalah hak belas kasihan, hanya diberikan kepada Yang di-Pertuan Agong atau pemerintah mana-mana negeri di Malaysia.

Suzana berhujah bahawa Mohd Khairul Azam mesti membuktikan bagaimana beliau terkesan dengan keputusan Lembaga Pengampunan dan alasan yang diberikan dalam pernyataan tuntutannya tidak memenuhi prinsip undang-undang yang ditetapkan oleh keputusan Mahkamah Persekutuan baru-baru ini.


 

Post a Comment

0 Comments