Bersatu tolak Ahmad Maslan, k'jaan Ismail dilanda 'ribut dalam cawan' ?


KESTABILAN
kerajaan pimpinan Ismail Sabri Yaakob teruji lagi apabila Ahli Parlimen parti Bersatu dilapor menolak pencalonan Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan sebagai timbalan Speaker Dewan Rakyat.

Seorang Ahli Parlimen dari Parti pimpinan Mahiaddin Md Yasin yang enggan dinamakan berkata, penolakan itu telah menyebabkan undian untuk jawatan itu yang sepatutnya dijalankan awal minggu ini ditangguhkan.

"Pendirian Bersatu adalah Umno kena memilih semula seorang calon yang tidak berdepan kes pendakwaan di mahkamah dan terbukti integriti.
 
"Dengan kami berharap calon itu mestilah tiada masalah berurusan dengan ahli-ahli parlimen Bersatu sendiri,” kata Ahli Parlimen yang tidak dinamakan itu seperti dilapor portal Sinar.

Isu mengenai penolakan terhadap pencalonan Ahmad Maslan mula dibangkitkan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Mohd Puad Zarkashi.

Semua Ahli Parlimen Bersatu, serta empat ahli parlimen bebas yang berpihak kepada parti itu didakwa telah bersetuju untuk berkecuali semasa undian berkenaan.

Ini akan menyebabkan Ismail Sabri Yaakob memiliki hanya 79 undi sokongan daripada 114 anggota parlimen yang bersamanya.

Mohd Puad berkata penagguhan bagi memilih Timbalan Speaker itu terpaksa dibuat kerana bimbang, Nga Kor Ming yang dicalonkan Pakatan Harapan (HARAPAN) bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan bekas timbalan speaker Azalina Othman Said itu menang jika Ahmad Maslan tidak mendapat sokongan.

Kerajaan pada Selasa telah menangguhkan pemilihan timbalan speaker Dewan Rakyat dengan alasan bagi memberi masa mewujudkan jawatan timbalan speaker ketiga untuk pembangkang.

Puad dakwa Bersatu simpan dendam
Puad bagaimanapun menempelak Bersatu dan mendakwa mereka menyimpan dendam terhadap Ahmad Maslan.

Ahmad Maslan kini sedang dibicarakan kerana mengubah wang haram dan memberikan kenyataan palsu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai lebih RM2 juta yang diterimanya daripada perdana menteri ketika itu, Najib Razak pada tahun 2013.

Post a Comment

0 Comments