Belum ada persetujuan konkrit dengan kerajaan - Anwar


KETUA Pembangkang di Parlimen, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu bahawa belum ada apa-apa keputusan besar telah dicapai dari rundingan Pakatan Harapan (HARAPAN) bersama perdana menteri Ismail Sabri Yaakob.

Anwar ketika diwawancara stesen penyiaran antarabangsa, CNBC berkata, Ismail yang sebelum ini mempelawa pembangkang ke meja rundingan cuba menjalin kerjasama dengan pembangkang susulan sokongan majoriti terhadapnya akan diuji dalam sidang Parlimen akan datang.

“Itulah sebabnya beliau melakukan beberapa bentuk perundingan dengan pembangkang, sehingga kini belum ada yang konkrit.

"Rundingan masih berjalan ketika ini, namun kita juga harus melihat apakah mereka benar-benar komited terhadap beberapa reformasi yang mereka berjanji untuk menyokong sebelum ini,” katanya memberitahu stesen berita perniagaan berpangkalan di Amerika Syarikat itu.

Baru-baru ini, tiga pemimpin utama HARAPAN diketuai Anwar sebelum ini menerima jemputan Ismail bagi mengadakan pertemuan di Putrajaya sebagai sebahagian usaha meredaka suhu politik negara.

Secara dasarnya mereka bersetuju supaya satu keadaan lebih kondusif dalam pelbagai perkara untuk rakyat dan negara diwujudkan. Mereka turut bersetuju peri pentingnya kebebasan badan kehakiman, reformasi institusi dan tatakelola kerajaan yang baik.

Anwar ketika ditemui media selepas pertemuan itu berkata, HARAPAN bersetuju untuk 'memudahkan' proses undi percaya terhadap Naib Presiden Umno itu sekiranya kerajaan meletak kepentingan rakyat sebagai keutamaan dalam pentadbirannya.

Walau bagaimanapun, Ismail kemudian dilihat melaksana langkah terkebelakang apabila mengumumkan barisan kabinetnya yang mengekalkan sebahagian besar menteri dari pentadbiran Perikatan Nasional (PN) yang dianggap sebagai kerajaan gagal sebelum ini yang kemudian dikritik rakyat.
 
“Bagi saya, ini adalah malapetaka.

“Mereka sudah diberikan 500 hari dan anda dapat melihat sendiri penurunan dalam menguruskan Covid-19 dan isu ekonomi, dan sekarang anda mahu memberikan 100 hari lagi?

“Namun, walau apapun, perundingan masih berjalan…Kami perlu melihat sama ada mereka benar-benar komited melaksanakan pembaharuan yang mereka sudah janjikan untuk menyokong,” kata Anwar.

Sementara itu tegas Presiden KEADILAN itu lagi, pihaknya memberikan kerajaan beberapa cadangan, antaranya mengenai dana-dana baharu, pemantauan lebih berkesan dan pentingnya penggubalan Akta Lompat Parti dan undi 18.

Mahu lihat sejauh mana komitment Ismail Sabri
Bagi terus membangun, Malaysia juga jelasnya mesti berganjak daripada politik berasaskan kaum kepada berasaskan dasar keperluan, sambil berkata, jajaran semasa tidak membawa manfaat kepada kebanyakan Melayu, sebaliknya hanya menguntungkan “Melayu elit”.

“Tetapi ini adalah hala tuju naratif baharu di Malaysia, ia memerlukan banyak usaha ke arah itu. Kita bukan sahaja perlu berhubung dengan rakyat di kawasan bandar dan pinggir bandar, kami juga perlu menembusi rakyat kebanyakan di kawasan luar bandar,” katanya dipetik.
 

Post a Comment

0 Comments