Adakah k'jaan Muhammad Sanusi cekap, soal ADUN


DAKWAAN Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor bahawa wujudnya penyelewengan membabitkan pemindahan wang milik Menteri Besar Incorporated (MBI) Kedah sejumlah RM13 juta semasa pentadbiran Mukhriz Mahathir menimbulkan banyak persoalan.

Adun Kubang Rotan, Asmirul Anuar Aris ketika mengulas dakwaan Muhammad Sanusi menyifatkan ia sebagai satu dakwaan pelik dan ajaib terutama apabila Timbalan pesuruhjaya PAS Kedah itu mendakwa slip bank berkaitan kemasukan wang tersebut ke sebuah akaun bank di Kanada itu masih disimpan oleh beliau.

Beliau turut mempersoalkan mengapa Muhammad Sanusi tidak mengajukan perkara itu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya benar berlaku.

“Terlalu pelik apabila laporan polis dan SPRM juga tidak dibuat.

"Persoalan yang timbul kenapa perkara ini didiamkan dan tiada pun kenyataan rasmi atau pertuduhan secara terang oleh MB seolah-olah ingin menutup kelemahan diri sendiri dan dialihkan isu kepada kerajaan terdahulu, ” kata Setiausaha AMANAH negeri Kedah itu.

Sanusi mendakwa dia mempunyai bukti bahawa RM13 juta wang milik negeri itu telah dipindahkan ke akaun bank di Kanada.

Pendedahan berkenaan dibuat pada sidang akhbar secara maya selepas persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Alor Setar pada Selasa.

Mukhriz yang kini merupakan presiden Parti Pejuang ketika mengulas dakwaan Muhammad Sanusi itu menyifatkannya sebagai tindakan "langgar dan lari'.

Dakwaan itu tegasnya adalah satu tuduhan serius dan mencabar Muhammad Sanusi supaya membuat kenyataan rasmi bagi memperincikan dakwaannya itu.

“Kita harap boleh dapat kenyataan rasmi kerana beliau tidak sepatutnya melontarkan dakyah atau tohmahan begitu saja seolah-olah ‘langgar dan lari’.

“Dakwaan itu perlu dibuktikan dengan saya pun tak tahu apa ceritanya. Saya menantikan kenyataan rasmi mengenai tuduhan dibangkitkan itu,” katanya.

Sanusi dicabar buat kenyataan rasmi
Sementara itu Asmirul mempersoalkan mengapa Muhammad Sanusi hanya membangkitkan dakwaan itu setelah 16 bulan menjadi Menteri Besar.

“Lebih memelikkan lagi apabila MB menimbulkan dakwaan akaun bank tersebut hanya setelah 16 bulan beliau menerajui kepimpinan sebagai MB Kedah.

“Timbul pelbagai persoalan sekiranya kerajaan negeri adalah sebuah kerajaan yang cekap, kenapa ia tidak didedah seawal pemerintahan sehingga perlu menanti selama setahun empat bulan bagi membuat pendedahan tersebut," soalnya.