Umno Baru berperangai tamak, rosakkan jiwa keMelayuan - Ku Li


 
PEMIMPIN veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah menyifatkan parti itu kini seperti “perusahaan komersial” yang berperangai tamak dengan  prinsip akhlak sebahagian mereka hancur berkecai.

Pandangan itu dilontarkan Ahli Parlimen Gua Musang itu di Dewan Rakyat dengan merujuk kepada “Umno Baru” yang ditubuhkan susulan pembatalan pendaftaran parti itu pada 1988.

“Umno Baru menjadi parti kepada suatu golongan politik baru yang menyalahgunakannya untuk memperkaya diri. Ia mula bersifat seolah-olah seperti perusahaan komersial. Sekaligus ini merosakkan jiwa keMelayuan. Perangai tamak haloba mengatasi segala-galanya.

“Di samping itu prinsip akhlak hancur berkecai, begitu juga halnya dengan mutu kelakuan mereka yang cuba meraih jawatan awam dan kuasa politik,” katanya.

Menurut bapa saudara bekas Yang di-Pertuan Agong, Tengku Muhammad Faris Petra ibni Sultan Ismail Petra itu lagi, politik dalam Umno baru menjurus kepada amalan tidak sihat yang memberi kesan kepada negara keseluruhannya.

Beliau merujuk amalan politik berbaur menjadi rasuah politik di mana kuasa politik ditukar ganti dengan sokongan untuk mendapat kedudukan dalam parti dan  pengwujudan sistem berat sebelah dan ganjaran kewangan berperingkat.

"Mereka yang terbaik kini kehilangan harapan dan yang paling teruk dan tidak berguna amat ghairah dengan lagak mereka untuk mendapat kuasa.

“Keadaan ini menyebabkan terdapatnya, sedikit-sebanyak, krisis kepimpinan. Dengan secara tidak langsung keadaan ini telah menimbulkan kecemasan dalam kalangan rakyat,” katanya lagi.

Semalam Tengku Razaleigh Hamzah atau lebih dikenali sebagai Ku Li meletak jawatannya sebagai Pengerusi Jemaah Penasihat Umno.

Ku Li kecewa dengan Umno Baru
Tindakan itu dipercayai dibuat susulan sokongan Umno terhadap kerajaan Ismail Sabri yang masih dibarisi menteri daripada “kerajaan gagal” Muhyiddin Yassin.

Namun Ahli Parlimen Padang Rengas Mohamed Nazri Abdul Aziz pula dilapor media sebagai berkata bahawa tindakan Ku Li itu disebabkan kecewa tidak dapat jawatan perdana menteri.

Post a Comment

0 Comments