Tun Ahmad Sarji meninggal dunia


BEKAS Ketua Setiausaha Negara, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid dilapor meninggal dunia di Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) jam 1.40 pagi tadi.

Berita kematian Ahmad Sarji, 82, disampaikan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali melalui catatan di akaun Facebook miliknya.

"Salam takziah buat seluruh keluarga Allahyarham Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid atas pemergian Allahyarham yang telah meninggal dunia pada 28 Ogos (hari ini), jam 1.40 pagi.

"Pemergian Allahyarham adalah kehilangan besar buat negara melalui jasa dan bakti yang telah dicurahkan selama ini. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat-Nya dan ditempatkan bersama para solihin," kata Mohd Zuki dalam satu hantaran ringkas.

Sementara itu dipetik laporan media, keluarganya menyatakan Allahyarham menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) COVID-19 Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Cheras kerana komplikasi COVID-19.

Allahyarham bagaimanapun telah disahkan bebas Covid-19.
 
Ahmad Sarji merupakan Ketua Setiausaha Negara dari 1990 hingga 1996 ketika era pentadbiran Perdana Menteri keempat, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau juga adalah Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam muat naik di laman Facebooknya turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham.

Ahmad Sarji menutup usia pada usia 82 tahun
"Saya utus takziah buat keluarga mantan Setaiusaha Negara Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid  yang dilaporkan telah kembali ke rahmatullah pagi tadi.

"Almarhum juga adalah pengasas dan pengerusi pertama Institut Kefahaman Islam Malaysia. Mendoakan almarhum diberi keampunan oleh yang maha Esa serta ruhnya ditempatkan bersama kalangan mereka yang beriman dan beramal soleh," tulisnya. 
 
Difahamkan jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara.
 


Post a Comment

0 Comments