HARAPAN Johor gesa k'jaan negeri ganda usaha lawan Covid-19



KERAJAAN Perikatan Nasional (PN) di Johor digesa menggandakan usaha bagi mengekang penularan wabak Covid-19 susulan jumlah kematian di negeri itu menunjukkan peningkatan.

Pakatan Harapan (HARAPAN) Johor dalam satu kenyataan  berkata, meskipun 50% populasi di Johor sudah menerima dos vaksin pertama, kadar populasi penerima dos lengkap menerusi vaksin kedua masih rendah, iaitu sebanyak 28% sahaja sehingga 24 Ogos 2021.

Susulan itu mereka menggesa supaya kaedah cari, uji, jejak, asing dan sokong (FTTIS) dapat ditingkatkan sebagai persediaan berdepan kewujudan varian Delta dan Lambda.

“Kadar vaksinasi Johor juga perlu ditingkatkan segera untuk mencapai imuniti kelompok pada hujung tahun ini, setiap kelewatan amat berisiko menatijahkan lebih ramai angka korban.

“Kelembapan pemberian vaksin di Johor menyebabkan masih ramai rakyat di negeri ini yang belum dilindungi. Mereka berisiko tinggi untuk berada di tahap 3, 4 dan 5 sekiranya dijangkiti,” kata mereka.

Mereka turut menyatakan kebimbangan sistem kesihatan di negeri itu bakal terjejas jika tindakan segera tidak dilaksana, ia susulan peningkatan pesakit Covid-19 di Unit Rawatan Rapi (ICU) yang kini menurut sudah mencapai hampir 85 peratus.

Sehubungan itu mereka mencadangkan supaya kerajaan negeri meningkatkan infrastruktur dan kemudahan sistem kesihatan seperti menambah kapasiti ICU dan memperkukuh barisan hadapan.

 Usaha tangani Covid-19 perlu digandakan
“Pada masa yang sama, HARAPAN juga berharap kerajaan negeri mengambil langkah inklusif dengan melibatkan ADUN rentas parti dalam usaha merangka pelan pemulihan pandemik pada kadar segera.

“Khususnya dalam menambah baik sistem kesihatan negeri dan perancangan membuka sektor industri dengan selamat,” kata mereka lagi.


Post a Comment

0 Comments