Kabinet Ismail Sabri tak memberangsangkan - MKT Umno


SENARAI anggota Jemaah Menteri yang diumumkan Ismail Sabri Yaakob semalam dianggap sebagai tidak memberangsangkan.

Pandangan itu disuarakan sendiri seorang Ahli Majlis Tertinggi Umno, Johari Abdul Ghani yang berpandangan bahawa Ismail sewajarnya membentuk satu Kabinet bipartisan atau merentas parti ketika waktu pandemik ini.

“Barisan Kabinet ini tidak memberangsangkan,” ciapnya di Twitter.

Sekurang-kurangnya beliau berkata, Ismail patut memperkenalkan wajah-wajah baru yang lebih bertenaga dan bersemangat.

Semalam, Ismail Sabri dikritik pemimpin politik dan warganet kerana dianggap mengitar semula menteri dalam kabinet Perikatan Nasional (PN) sebelum ini dengan mengekalkan sebahagian besar dari mereka.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui satu kenyataan merasa kesal dengan pengumuman itu dan berkata bahawa pembentukan semula kabinet itu yang sebahagian besarnya dianggotai menteri kerajaan terdahulu  tidak mampu menyakinkan pelabur dalam atau luar negara.

Warganet membidas pembentukan kabinet tersebut dengan berkata ia mewarisi legasi kegagalan PN sebelum ini.

Sementara Johari dalam ciapan sama turut mengingatkan agar Ismail tidak berharap untuk berbulan madu kerana angka kes Covid-19 kini melonjak dengan setiap hari mencatatkan melebihi 20,000 kes.

Malah katanya, kerajaan perlu menunjukkan langkah segera untuk menangani masalah ekonomi dan kesihatan yang dihadapi negara.

Beliau berkata, kadar pengangguran dalam negara meningkat dari 4.5 peratus kepada 4.8 peratus dengan membabitkan lebih 700,000 rakyat Malaysia hilang pekerjaan.

Bahkan, Malaysia kini ketinggalan di belakang berbanding negara jiran lain seperti Vietnam yang merupakan pengeksport produk pembuatan terbesar di ASEAN.

Malaysia berdepan masalah ekonomi dan kesihatan 
“Situasi di Malaysia ini telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pelabur tentang perkembangan politik dan arah tuju ekonomi negara.

“Kerajaan mesti berhubung dengan syarikat multinasional serta pelabur asing dan tempatan untuk memastikan keperluan dan masalah mereka ditangani dengan betul,” katanya lagi.