Senator nyatakan bantahan lepas Dewan Negara pula 'ditutup'


ENAM BELAS
Ahli Dewan Negara hari ini melahirkan rasa kesal dan kecewa atas keputusan penutupan Parlimen oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Jurucakap mereka, Yusmadi Yusoff merujuk kepada penangguhan sidang khas, yang dijadual dibuat pada 3 hingga 5 Ogos berkata, tindakan itu tidak masuk akal lebih lagi apabila rata-rata Ahli Dewan Negara sudah divaksin dua dos.

Parlimen sepatutnya sudah menjadi tempat paling selamat untuk bersidang.

“Pada pandangan kami sudah ikut semua aturan. Jumaat lalu sudah buat ujian swab Covid-19 semua. Parlimen selamat dijadikan tempat sidang kerana hampir 99% sudah vaksin,” katanya di luar bangunan Parlimen. Beliau turut khuatir penangguhan Dewan Negara ini mempunyai “unsur-unsur politik”.

Mereka menyerahkan memorandum kepada Yang Dipertua Dewan Negara, Rais Yatim bagi membantah penangguhan yang dimaklumkan melalui notis singkat yang dikeluarkan.

Selain Yusmadi,  Senator Manolan Mohamad, Ismail Yusop, Ahmad Azam Hamzah and Yaakob Sapari dari KEADILAN serta Suresh Singh Rashpal Singh, AN Kesavadas, Alan Ling, Lim Hui Ying dan Adrian Lasimbang daripada DAP. Senator daripada Amanah Raj Munni Sabu turut hadir.

Lima lagi senator yang menandatangani memorandum tetapi tidak hadir hari ini adalah Theodore Douglas Lind (Warisan), Husam Musa (Amanah), Donald Peter Mojuntin (Upko), Nga Hock Cheh (DAP) dan Mohd Imran Abdul Hamid (KEADILAN).

Dalam pada itu, Yusmadi berkata, sebagai Ahli Dewan Negara yang merupakan dewan legislatif tertinggi, kesemua mereka bersetuju dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah bahawa pembatalan Proklamasi dan Ordinan-ordinan Darurat yang dibuat oleh pihak kerajaan secara tidak telus.

Katanya, pembatalan Ordinan Darurat yang dibuat tanpa melalui kedua-dua dewan dan mendapat perkenan Agong adalah tidak sah dan tidak berperlembagaan.

Senator kecewa Dewan Negara ditangguhkan
“Pihak kami juga menyatakan pendirian tegas kami untuk tidak bersetuju dengan sikap derhaka yang ditunjukkan oleh pihak kerajaan yang membelakangi Titah Agong dan Majlis Raja-raja.

“Kami percaya Dewan Negara yang berfungsi sebagai semak dan imbang proses legislatif di negara ini perlu bebas daripada cengkaman pihak eksekutif yang tidak menghormati sistem demokrasi parlimen dan Raja berperlembagaan seperti diperuntukan di dalam perlembagaan persekutuan,” katanya lagi.