Tutup Parlimen langkah terdesak kekal kuasa , kata Ahli Parlimen


MAHIADDIN MD YASIN dan seluruh anggota Kabinet dianggap bukan sahaja telah menghina Parlimen, tetapi turut tidak menghormati Raja Berperlembagaan.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim melalui sayu kenyataan berkata, mereka turut menyalah guna kuasa dan mengkhianati mandat diberikan rakyat serta serta mengkhianati prinsip demokrasi.

Beliau sebelumnya merujuk tindakan menggantung Parlimen yang dianggap  sebagai satu jalan mudah untuk Mahiaddin kekal berkuasa ketika isu berkaitan krisis perlembagaan dan hubungan pemimpin kerajaan dengan Istana dibangkitkan.

“Anda semua yang menganggotai badan Eksekutif sudah hilang keabsahan atau legitimasi untuk mentadbir Malaysia tercinta ini.

“Selaku seorang Ahli Parlimen, saya gesa seluruh jemaah menteri dan Mahiaddin Yasin bersama bertanggungjawab dan mengambil jalan terhormat dan bermaruah supaya meletakkan jawatan seberapa segera,” kata bekas Pengerusi KEADILAN Johor itu dalam kenyataan.

Sementara itu, Hassan turut mengingatkan pentadbiran Perikatan Nasional (PN) bahawa Malaysia adalah sebuah negara demokrasi yang mengamalkan dasar Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan.

“Malaysia bukan negara republik seperti Indonesia atau Amerika Syarikat dan juga bukan negara raja berkuasa mutlak seperti Brunei atau Arab Saudi.

Badan Eksekutif sudah hilang legitimasi
“Patut dihargai dan dipandang tinggi jika Yang di-Pertuan Agong sebagai Raja Berperlembagaan menghormati peranan Parlimen sebagai badan perundangan di mana segala urusan undang-undang dan kewangan negara dibentang, dibahas dan diputuskan di dalam Parlimen.

“Justeru, patut dipandang hina pula terhadap Perdana Menteri dan jemaah menteri yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong tetapi ingkar terhadap titah Seri Paduka supaya semua Ordinan Darurat dibentang, dibahas dan diputuskan di Parlimen,” katanya lagi. `