"Superspreader' : Adakah Noor Hisham cuba takutkan Ahli Parlimen? - Kit Siang


VETERAN
Politik, Lim Kit Siang meminta Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Noor Hisham memberi bukti kejadian ‘superspreader’ Covid-19 berkemungkinan berlaku sekiranya sidang khas Parlimen diteruskan.

Dipetik laporan media, Parlimen Iskandar Putri itu menegaskan kenyataan Noor Hisham mengenai kejadian seperti itu boleh berlaku di Parlimen amatlah malang sekali.

Tanpa bukti yang kukuh, Kit Siang mempersoalkan apakah kenyataan dibuat Noor Hisham itu semata-mata untuk menakut-nakutkan Ahli parlimen, susulan perkembangan terkini politik dalam negara.

“Di manakah buktinya? Atau adakah kenyataan ini hanya untuk menakut-nakutkan Ahli-ahli Parlimen?

“Noor Hisham perlu membuktikan kenyataan beliau ini dengan fakta perubatan,” katanya.

Parlimen yang sepatutnya disambung hari ini ditangguhkan dengan alasan mengelak penyebaran wabak itu.

Ia susulan 11 kes baharu dikesan hasil saringan dijalankan pada 29 Julai lalu yang menjadi alasan untuk sesi tersebut ditangguhkan.

Sebagai rekod, sebelum saringan dijalankan Dewan menjadi kecoh setelah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim membacakan kenyataan Istana Negara bahawa Yang Di-Pertuan Agong dukacita dengan keputusan kerajaan membatalkan Ordinan Darurat tanpa persetujuan baginda.

Berlaku beberapa penangguhan sesi persidangan yang kemudian disusuli kenyataan bahawa Dewan ditangguhkan pada Hari ini.

Sementara itu Kit Siang menegaskan bahawa jumlah 11 orang disahkan positif berbanding 1.183 orang yang disaring  menunjukkan kadar kes positif di Parlimen ini hanyalah kira-kira 1%, jauh daripada status ‘superspreader’ seperti didakwa Noor Hisham.

“Satu lagi alasan kononnya mungkin berlaku kejadian ‘superspreader’ adalah varian baharu? Adakah kajian genom telah dijalankan, jika ya, apakah keputusannya?” soalnya.

Semua Ahli Parlimen sudah terima vaksin
Jelas Kit Siang, sidang Parlimen yang melibatkan Ahli-ahli Parlimen yang telah menerima vaksinasi lengkap perlu diteruskan.

“Perdana Menteri sendiri telah menerima vaksinasi lengkap. Mengapa beliau tidak hadir ke Parlimen untuk menjawab persoalan-persoalan yang ditanya di seluruh negara?” katanya lagi.

Post a Comment

0 Comments