Ramasamy persoal tindakan polis dalam isu 'video kritik Sanusi'


TINDAKAN pihak polis menahan seorang warga emas berusia 61 tahun ditahan susulan kritikannya terhadap Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Mohd Nor dipersoal.

Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang P Ramasamy mahu pihak polis memberi alasan mengapa tindakan terhadap individu itu dilaksana dengan sangat pantas sedangkan isu mendesak lain menurutnya tidak dilaksana dengan cara sama.

"Cara polis menahan dan membebaskan dengan jaminan seorang warga emas kerana mengkritik Sanusi menimbulkan persoalan mengenai tingkah laku polis itu sendiri.

"Berdasarkan laporan yang dibuat oleh pegawai khas Sanusi, polis bertindak untuk mengesan klip video warga emas itu, menahan dan membawanya ke Kedah.

"Saya tidak rasa polis melakukan tugas mereka dengan cekap dalam hal-hal mendesak yang lain," kata Ramasamy dipetik laporan media.

Terdahulu lelaki berusia 61 tahun dari Lenggeng, Negeri Sembilan itu dilaporan ditangkap dalam satu serbuan di rumahnya pada jam 3.57 pagi 9 Ogos setelah pegawai khas Sanusi membuat laporan polis terhadapnya.

Dalam video tersebut, warga emas yang menggelar dirinya sebagai "tok Abah" itu berulang kali mempersoalkan kebijaksanaan Muhammad Sanusi dalam mentadbir negeri Kedah.

Ia selepas Sanusi membuat kenyataan 'gurauan kasar' yang dianggap biadap ketika ditanya oleh seorang wartawan apakah ada cukup tempat untuk mereka yang meninggal akibat Covid-19 dimana Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah itu kemudian berkata bahawa kontena mencukupi dan mereka yang ingin masuk boleh memberi namanya.

Warga emas itu  dalam rakaman tersebut juga menyatakan rasa berang dengan sikap ditunjukkan Sanusi termasuk dalam kes pandu uji kenderaan sebelum ini dimana Sanusi kemudian dikenakan kompaun.
 
Sementara itu, Ramasamy menyatakan rasa hairannya mengapa tindakan hanya disasarkan kepada individu tersebut sedangkan menurutnya ribuan  pengguna media sosial mengecam Sanusi kerana membuat kenyataan tidak wajar itu, terutama ketika ramai rakyat alaysia kehilangan orang yang mereka sayangi akibat Covid-19.

"Walaupun ada ratusan bahkan ribuan orang yang mengecam Sanusi atas kenyataannya yang menyinggung perasaan dan tidak sensitif, tetapi mengapa pegawai khasnya menumpukan perhatian pada warga emas tertentu ini.

"Mengapa video warga emas itu dianggap sangat sensitif oleh polis ketika Perdana Menteri Muhyiddin Yassin telah dipanggil dengan pelbagai gelaran?" soal Ramasamy.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Adzli Abu Shah mengesahkan penahanan individu itu

"Lelaki itu direman dan dibebaskan dengan jaminan polis setelah keterangan diambil," katanya sambil menjelaskan bahaw kes disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Selain warga emas itu, media melaporkan dua lagi individu ditahan bagi membantu siasatan kerana memuatnaik kata-kata kesat terhadap Sanusi di Facebook.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, penahanan itu dibuat susulan laporan polis daripada seorang Pegawai Khas Menteri Besar.

Ramasamy persoal tindakan polis
"Salah seorang individu yang memberi komen negatif ini merupakan seorang lelaki berusia 52 tahun dari Kepala Batas dan seorang lagi berumur 45 tahun dari Mergong Perdana," katanya dipetik.

Dalam pada itu, Ramasamy mahu penjelasan mengapa video berkaitan Sanusi mendapat perhatian seperti itu sedangkan banyak kes serius lain tidak diberi tumpuan yang sama walaupun ada laporan polis.