KERAJAAN Persekutuan digesa menjelaskan beberapa persoalan berkenaan laporan mengenai dakwaan ada individu dan organisasi luar memberi bantuan kepada ahli politik di Malaysia.
Gesaan itu dibuat Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) susulan dakwaan bekas Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan, Leftenan Jeneral (B) Datuk Mohd. Salleh Ismail mengenai perkara itu seperti disiar Utusan malaysia.
Presiden Patriot Mohd Arshad Raji berkata, kerajaan perlu menjawab apakah bantuan kepada ahli politik itu akan menyebabkan risiko terhadap keselamatan negara. Beliau turut mahu perincian berkenaan aset dan wang tunai, pihak yang terlibat, serta sama ada dakwaan perhubungan itu adalah arahan daripada parti atau bukan.
"Ahli Patriot kekal komited dengan patriotisme dan keharmonian negara kerana ini adalah tonggak utama dalam misi dan perkhidmatan kita.
"Ada unsur keselamatan negara yang serius (dalam dakwaan itu), termasuk kebimbangan berkenaan kedaulatan negara, yang perlu dijaga oleh setiap warga pada setiap masa.
"Patriot menggesa semua agensi keselamatan negara untuk bekerjasama dalam menangani perkara ini," katanya dalam kenyataan.
Mohd Salleh dalam laporan media berkata, perisikan tentera ada maklumat lengkap seperti tarikh dan lokasi pertemuan serta ahli politik yang bertemu dengan pihak asing ketika di luar negara.
"Tapi kita tak tahu apa yang dibincangkan. Tapi memang ada perjumpaan dengan beberapa orang yang mendapat sokongan secara moralnya dari luar negara,” katanya lagi
Dalam pada itu, Arshad berkata sebagai veteran yang dulu berkhidmat dalam pasukan keselamatan, pihaknya sedar ada ahli politik yang berhubung dengan kakitangan kedutaan luar, sementara pihak perisikan tentera mengekalkan hubungan dengan tentera luar negara atas dasar perkongsian maklumat.
![]() |
Patriot tuntut penjelasan |
"Apabila tawaran sebegitu diberikan kepada ahli politik, dan lebih-lebih lagi secara kerap, ada sebab untuk mempersoal jika ada sesuatu yang tidak betul berlaku antara ahli politik dan pihak luar itu," katanya sambil menggesa Cawangan Khas (SB) PDRM untuk menyiasat dakwaan itu.
0 Comments