BEKAS menteri kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad menyifatkan kenyataan Dr Jemilah Mahmood bahawa kekurangan ujian besar-besaran di negara ini sebagai kelemahan utama dalam strategi pengurusan pendemik Covid-19.
Dipetik laporan media, beliau turut mendakwa ia adalah bukti bahawa bekas perdana menteri sebelum ini, Mahiaddin Md Yasin tidak mendengar cadangan penasihatnya itu.
“Satu hal syor-syor kami STFC (Pasukan Petugas Khas Covid-19 Selangor) tidak didengari. Tapi pendedahan Tan Sri Jemilah Mahmood ini bukti PM-8 (Muhyiddin) juga tidak dengar penasihatnya.” katanya seperti dipetik portal FMT.
Kenyataan Jemilah itu difahamkan dibuat dalam wawancara kesihatan. Bagaimanapun, Jemilah menjawab pada ciapan itu bahawa isu berkaitan FTTIS (cari, uji, kesan, asing, sokong) tidak perlu dipolitikkan.
Ujian saringan besar-besaran Covid-19 digesa untuk dilakukan oleh pelbagai pihak sepanjang gelombang ketiga wabak, iaitu tempoh Muhyiddin menjadi perdana menteri sehingga peletakan jawatannya minggu lalu.
Sejak sebulan lalu, dalam pada kes harian meningkat, hampir 10% semua ujian dilakukan menunjukkan positif, jauh melebihi 5% yang ditetapkan sebagai nilai ambang maksimum Pertubuhan Kesihatan Sedunia. Ini seterusnya membayangkan banyak kes yang tidak dikesan dalam komuniti.
“Masakan boleh beliau (Muhyiddin) dakwa telah lakukan yang terbaik?” soal Dzulkefly sambil berkata sama ada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob juga akan melakukan perkara sama seperti Muhyiddin.
Jemilah dalam wawancara yang dirujuk Dzulkefly turut berkata, semakin ekonomi dibuka, pelan ujian, pengesanan, pengasingan dan sokongan yang lebih berkesan mesti dilaksanakan.
![]() |
Dzul merujuk satu wawancara kesihatan |
Ini juga akan membolehkan pihak berkuasa kesihatan hanya memperkenalkan strategi pembendungan secara bersasar dan apabila diperlukan.