PERTUBUHAN KINABALU PROGRESIF BERSATU (Upko) diumumkan menjadi parti komponen terbaru Pakatan Harapan (HARAPAN).
Ketua Setiausaha HARAPAN, Saifuddin Nasution Ismail membuat pengumuman itu melalui satu kenyataan lewat petang semalam dengan berkata, parti berpengkalan di Sabah itu memohon untuk menyertai gabungan tersebut dan Majlis Presidennya bersetuju menerima penyertaan parti itu.
"Mesyuarat Majlis Presiden PH hari ini membuat keputusan untuk menerima UPKO sebagai salah satu parti komponen PH.
"Kami percaya penyertaan UPKO ini akan terus memperkukuh kerjasama terutama dalam persiapan menuju PRU ke-15," katanya.
Sebagai rekod, Upko diketuai Wilfred Madius Tangau sebelum ini merupakan sebahagian daripada anggota Barisan Nasional (BN) namun meninggalkan gabungan berkenaan selepas PRU lalu dan memihak kepada Warisan - sebuah lagi parti yang berpangkalan di Sabah yang cenderung bekerjasama dengan HARAPAN.
Ketika ini ada tiga parti yang membentuk PH iaitu KEADILAN, Amanah dan DAP, selepas Bersatu dibawa keluar meninggalkan gabungan berkenaan pada Feb tahun lalu yang kemudian menyaksikan HARAPAN - yang mendapat mandat untuk menguasai Putrajaya melalui PRU ke-14 lalu - dijatuhkan.
HARAPAN kini sedang dalam usaha memperkukuh blok pembangkang melalui konsep 'khemah besar' seperti dinyatakan Majlis Presidennya baru-baru ini.
Ia susulan gesaan beberapa pemimpin dalam gabungan itu yang menggesa parti pembangkang lain seperti Warisan, MUDA, Pejuang, Upko dan PSB dipelawa secara rasmi untuk menyertai mereka.
Melalui kenyataan semalam, Saifuddin berkata bahawa pintu HARAPAN sentiasa terbuka kepada parti pembangkang lain untuk bekerjasama atau menyertai mereka.
![]() |
HARAPAN terbuka penyertaan terima parti lain |
"Pembangkang harus terlebih dahulu menyelesaikan perbezaan sesama mereka sebelum dapat membuat dasar bersama dan rancangan yang efektif untuk membawa negara ke depan, seperti menangani pandemik serta memulihkan ekonomi," katanya dalam kenyataan.