Elak Kerajaan Gagal 2.0 berulang, HARAPAN amal politik matang


LANGKAH
Pakatan Harapan (HARAPAN) yang menyatakan kesediaan untuk menjalin kerjasama dengan kerajaan Ismail Sabri Yaakob adalah bertujuan untuk mengelak wujud kembali kerajaan gagal 2.0.
 
Perkara itu didedahkan Pengarah Komunikasi AMANAH Khalid Samad dalam satu program bual bicara bersama Jom Channel.

Mengulas pertemuan diantara tiga pemimpin gabungan itu dengan Ismail Sabri di Putrajaya pada Rabu, Khalid berkata bahawa mereka percaya kerajaan Ismail yang baru dibentuk tidak mampu untuk menyelesaikan masalah rakyat.

Ia jelasnya kerana barisan kepimpinan yang tidak ada beza dengan kepimpinan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dikepalai Mahiaddin Md Yasin sebelum ini.

“Tidak ada bezanya dari segi anggotanya, kemampuannya. Ini terbukti selepas setahun mereka mengemudi kerajaan akhirnya mereka telah gagal.

“Kita sampaikan kepada PM baru kalau dia buat cara Mahiaddin iaitu tak nak dengar pandangan pembangkang tak nak buat sidang Parlimen maka kerajaan beliau akan gagal seperti kerajaan Mahiaddin.

“Maknanya kerajaan gagal 1.0 diganti dengan kerajaan gagal 2.0,” kata dalam wawancara itu.

Terdahulu, Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Pengerusi AMANAH, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng  menerima jemputan Ismail untuk bertemu.

dan mengadakan perbincangan untuk meredakan suhu politik negara yang tidak menentu sejak beberapa bulan lalu.

Anwar sebaik selesai pertemuan berkata, bahawa mereka turut mengadakan perbincangan bagaimana tumpuan boleh diberikan untuk program pro-rakyat dijalankan.

Pengerusi HARAPAN itu turut memberi jaminan pada pertemuan itu bahawa Ismail tidak akan berdepan kesukaran dalam undi percaya di Dewan Rakyat sekiranya dia meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan dalam pentadbirannya kelak. 

Sementara itu, Khalid melihat kesanggupan tiga pemimpin itu untuk membantu Ismail membuktikan bahawa cara politik diamalkan mereka adalah politik matang  yang tidak tertumpu kepada perebutan kuasa.

“Dia panggil kita dan kita sanggup pergi untuk sampaikan hasrat rakyat untuk memulihkan negara.

Bantu pastikan Kerajaan Gagal tak muncul lagi
“Dia kena kembalikan persoalan semak imbang dengan menghidupkan institusi Parlimen supaya perkembangan dalam parlimen di mana perbincang bersama pihak kerajaan dan pembangkang mengenai masalah-masalah rakyat dapat didengar dan cari jalan penyelesaiaan.

“Inilah cara politik di negara-negara maju dengan demokrasi yang matang ada kerjasama, perbahasan dan perbincangan antara kerajaan dan pembangkang,” kata Khalid  lagi.