Kabinet kitar semula, Ismail bakal dihantui bayangan k'jaan PN

 


KOMPOSISI kabinet Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob yang memaparkan majoriti muka-muka sama dengan kerajaan dikepalai Mahiaddin Md Yassin dikritik.

Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Seri Saifuddin Nasution ketika mengulas pengumuman kabinet itu berkata, ia amat mengecewakan kerana dibarisi majoriti menteri yang sebelum ini dianggap sebagai gagal.

"Ini bukan kerajaan baru. Timbalan perdana menteri dahulu naik jadi perdana menteri dengan sokongan 114 orang-orang yang sama.

"Yang dibuat ialah kekal muka lama dan diberi portfolio baru dengan prestasi sebagai menteri sudah diketahui umum - gagal, katanya dipetik laporan Malaysiakini.

Tambah Ahli Parlimen Kulim Baharu itu lagi, Ismail Sabri yang diharap dapat memadam imej buruk kerajaan sebelum ini bakal dihantui persepsi bahawa dia memimpin kerajaan PN 2.0.

Antara menteri kabinet sebelum ini yang dianggap sebagai gagal tetapi dilantik semula adalah Senator Dr Radzi Jidin (Bersatu) yang dilantik semula mengepalai Kementerian Pendidikan. Senator Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dilantik semula ke Kementerian Kewangan dan Rina harun ke Kementerian Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Ketiga-tiga mereka termasuk Adham Baba yang mengetuai Kementerian Kesihatan dikecam teruk warganet sebelum ini susulan prestasi hambar mereka ketika negara berdepan pendemik Covid-19.

Adham masih dikekalkan sebagai menteri pada lantikan kali ini, namun bertukar portfolio dengan Khairy Jamaluddin yang sebelum ini mengetuai Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.

Hanya beberapa muka baharu yang terdiri dari pemimpin lama dilantik menganggotai kabinet Ismail, mereka adalah Noh Omar yang dilantik sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi dan Ahli Parlimen Arau Shahidan Kassim ( Menteri Wilayah Persekutuan).

Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu yang dilantik penasihat Mahiaddin baru-baru ini dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan manakala Idris Ahmad sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Ahli Parlimen Gombak, Mohamed Azmin Ali yang dikritik teruk susulan kebenaran diberi kementeriannya untuk industri terus beroperasi ketika pendemik memburuk terus kekal di kementerian sama, kekal sebagai menteri kanan, dia akan terus bergandingan dengan pemimpin MCA,  Lim Ban Hong sebagai timbalannya.

Pengikut setia Azmin, Zuraida Kamaruddin ditukarkan ke Menteri Perladangan dan Komoditi bergandingan dengan Willie Mongin yang juga seorang pengikut Azmin yang mengumumkan keluar dari Pakatan Harapan melalui Langkah Sheraton.  

Sementara itu Saifuddin berkata, lantikan kabinet itu jelas mengambarkan bahawa Ismail bimbang sokongan terhadapnya hilang, justeru terpaksa mengimbangi sokongan politik parti-parti dalam kerajaan dalam memilih barisan kabinet.

"Juga jelas bahawa PM tidak mengambil kira pendapat MKT (Majlis Kerja Tertinggi) Umno dengan mengenepikan pimpinan utama seperti Timbalan presiden Umno Mohamad Hasan dan Naib presiden Khaled Nordin," katanya lagi.

Selain Mohamad Hasan, pemimpin politik dan warganet sebelum ini turut berharap bekas Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Azalina Othman Said yang dilihat kritikal dalam menegur kelemahan kerajaan PN.

Pengumuan lantikan kabinet Ismail hari ini turut dianggap sebagai kabinet 'kita semula'

Bekas menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran berkata, Ismail telah melepaskan peluang keemasan membawa masuk pakar yang boleh mengendali pandemik.

"Kabinet sebelum ini semasa BN dan HARAPAN berbeza. Ketika itu, ketika itu kita tidak ada situasi pandemik.

"Tapi, sekarang Malaysia menderita dengan pandemik Covid-19. Kerajaan PN sebelum ini tidak ada pakar di kalangan menteri yang tahu cara menangani situasi pandemik ini.

Pelantikan muka sama dikritik ekoran kegagalan lalu
"Ismail Sabri sepatutnya sedar situasi sekarang sangat berbeza. Dia seharusnya lantik seorang pakar bukan dari kalangan ahli politik untuk menguruskan pandemik Covid-19. Bukan dari kalangan sama yang ternyata gagal sebelum ini," katanya.
 
Dalam pada itu, Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) Ibrahim Ali berkata bahawa tidak ada kejutan besar dalam pengumuman kabinet baru hari ini.

"Dalam kata lain tidak ada kejutan besar dan ia pasukan lama," katanya dalam kenyataan.

Post a Comment

0 Comments