Mahiaddin letak jawatan: desas - desus makin kuat


AHLI PARLIMEN Pagoh, Mahiaddin Md Yassin dilapor akan meletak jawatannya dalam masa terdekat.

Beberapa portal media tempatan yang memetik sumber berkata, Mahiaddin akan mengadap Yang di-Pertuan Agong sebelum tengah hari Isnin untuk menyerahkan surat peletakan jawatannya.

Dipercayai keputusan itu dibuat susulan ketegasan parti-parti pembangkang yang berpendirian menolak tawaran dikemuka Mahiaddin sebagai ganti sokongan undi percaya kepadanya di Dewan Rakyat nanti.

“Tan Sri (Mahiaddin) sudah buat keputusan,” kata sumber dipetik laporan The Malaysian Insight.

Pada Jumaat Mahiaddin membuat tawaran rentas parti dengan pembangkang sebagai usaha mempertahan jawatannya.

Tawaran itu antaranya semua Ahli Parlimen akan menerima peruntukan tahunan yang sama tanpa mengira parti politik.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula akan diberi saraan dan kemudahan setara dengan seorang Menteri Kanan sekiranya usul terhadapnya diluluskan.

Sebelum ini, Mahiaddin yang merupakan Presiden Bersatu ditekan teruk oleh pemimpin politik dan rakyat susulan kegagalan kerajaan mengawal pendemik Covid-19.

Ia turut menjadi alasan untuk beberapa Ahli parlimen Umno menarik semula sokongan mereka terhadap Mahiaddin sehingga jumlah sokongan sebenar dimilikinya kini dipertikaikan.

Sementara itu desas-desus perletakan jawatan Mahiaddin itu dikuatkan lagi dengan komen seorang pegawai kanan kepada menteri yang  dipetik Berita Harian .

Mahiaddin menurutnya akan membuat “satu pemakluman penting” mengenai diri dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinannya Isnin ini.

Mahiaddin didakwa akan letak jawatan
“Makluman oleh perdana menteri itu dijangka dibuat pada tengah hari, sebaik beliau selesai menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara,” kata seorang pegawai kanan kepada menteri, Berita Harian melaporkan.

“Dijangka Isnin ada pengumuman (oleh Muhyiddin). Mungkin tengah hari,” kata seorang lagi pegawai kanan kepada menteri.