SEORANG Ahli Parlimen yang juga peguam menggesa supaya Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor disiasat kerana kenyataan kontroversinya berkaitan kontena jenazah Covid-19 baru-baru ini.
Ramkarpal Singh (Bukit Gelugor) berkata kenyataan sanusi “kontena jenazah mencukupi, siapa nak masuk, bagi nama” – adalah tidak sensitif dianggap menghina itu telah menyebabkan kemarahan umum.
Ia juga menurut beliau mengakibatkan provokasi memandangkan bilangan kematian akibat virus itu mencapai jumlah yang mengerikan sejak kebelakangan ini.
“Persoalannya cuma sama ada menteri besar itu bertujuan menyebabkan provokasi terhadap orang lain dengan membuat kata-kata berkenaan dan sama ada beliau tahu ia mungkin menyebabkan mereka pula melakukan kesalahan.
“Perkara ini perlu disiasat polis walaupun beliau mendakwa ia sekadar gurauan, sama seperti orang lain disiasat bagi kenyataan mereka berhubung kata-katanya itu.
“Melihat isu ini, ada kemungkinan MB Kedah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan. Satu-satunya cara untuk menentukannya adalah memanggilnya untuk siasatan,” katanya dalam kenyataan.
Sanusi yang merupakan Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah sebelum ini dikritik berikutan kenyataanya ketika menjawab soalan wartawan.
Ia bukan kali pertama Sanusi membuat kenyataan yang menyebabkan rasa kurang senang di kalangan orang ramai. Dalam isu kontroversi berkait bekalan air dari Sungai Kuala Muda di negeri itu, dia sebelum ini pernah berkata mahu menyekat aliran sungai ke Pulau Pinang.
Sanusi turut dikritik setelah didapati melanggar SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila dilihat dalam sesi pandu uji sebuah trak mewah jenama Ford Raptor di Juru Pulau Pinang baru-baru ini.
Kenyataan Sanusi berkaitan kontena mayat dikritik beberapa individu di laman sosial, susulan itu pegawai khasnya telah membuat laporan polis dan menyebabkan beberapa individu ditahan, ia termasuk seorang warga emas berusia 61 tahun di Lenggeng, Negeri Sembilan pada 3.57 pagi.
Sanusi kemudian tampil dengan berkata bahawa kenyataan “kontena jenazah mencukupi, siapa nak masuk, bagi nama” itu hanya guruan kepada wartawan.
Sementara itu Ramkarpal berkata, walaupun Sanusi mendakwa kenyataannya hanya dibuat kepada wartawan, beliau sepatutnya tahu kata-katanya mungkin dipetik dalam laporan berita.
Malah beliau melalui kenyataan mempersoalkan sama ada polis akan menahan menteri besar itu pada awal pagi serta mendapatkan perintah reman di Mahkamah Majistret seperti dilakukan dengan beberapa individu yang telah ditahan.
![]() |
Ramkarpal gesa polis siasat Sanusi |
Difahamkan lima laporan polis dibuat di Balai Polis Bukit Mertajam oleh Pemuda Sosialis DAP Batu Kawan semalam berhubung kenyataan Sanusi itu.
0 Comments