SPEAKER Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun dikritik setelah didakwa membantu kerajaan menolak usul membahas Proklamasi Darurat dan ordinannya yang dikemukakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Jawatankuasa Perundangan Pakatan Harapan (HARAPAN) melalui satu kenyataan turut mengkrtik tindakan Azhar menolak usul Ahli Parlimen Beruas, Ngeh Koo Ham dengan berkata bahawa tindakan itu satu penyalahgunaan kuasa dan jelas membelakangi hasrat dan maksud sebenar Agong serta Raja-raja yang menitahkan supaya persidangan diadakan bagi membolehkan proklamasi darurat dan ordinan-ordinan darurat dibentangkan di Dewan Rakyat.
“Ini membuktikan beliau tidak mampu bertindak sebagai seorang Speaker tidak berpihak atau bebas yang mampu menjamin fungsi Parlimen sebagai platform semak dan imbang terhadap eksekutif.
“Tindakan-tindakan beliau ini membuktikan beliau hanyalah alat pihak eksekutif demi melaksanakan agenda mereka.
“Dalam keadaan ini, amatlah jelas dari tindakan Speaker bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) sangat terdesak mengelakkan sebarang undian di dalam Dewan Rakyat dan Speaker menjadi ejen kerajaan untuk memastikan tidak akan ada sebarang pengundian dalam sidang khas ini,” kata jawatankuasa itu dalam kenyataan.
Mengulas lanjut mereka turut menegaskan bahawa tindakan Azhar itu bukan sahaja bermotif politik, tetapi juga melanggar hak dua Ahli Parlimen itu di bawah Perlembagaan.
“Hak untuk membawa usul mengungkai Proklamasi dan/atau ordinan adalah hak dalam Perlembagaan yang termaktub di bawah Perkara 150(3) dan tidak boleh diketepikan begitu sahaja oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat.
“Dengan melakukan sedemikian, Yang Dipertua Dewan Rakyat menunjukkan sekali lagi beliau tidak layak melaksanakan tanggungjawab dan tugas-tugas Yang Dipertua Dewan Rakyat.
“Beliau perlu mengingatkan dirinya bahawa beliau mengundang tindakan mendesak pengosongan jawatannya sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat dengan tindakan salah ini.” tegas mereka lagi.
![]() |
Azhar didakwa bertindak sebagai ejen k'jaan |
Menerusi pemberitahuan bersurat yang dikongsikan di media sosial beliau, Anwar mahu segala hal berkaitan pandemik Covid-19 termasuk program vaksinasi, perbelanjaan dan Pelan Pemulihan Negara (PPN) dibahaskan.
0 Comments