BEKAS Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hari ini mengaku tidak bersalah atas tuduhan menyeleweng wang RM1 juta milik Pemuda Bersatu.
Dipetik laporan media, Ahli Parlimen Muar itu didakwa dengan satu lagi tuduhan bawah Seksyen 405 Kanun Keseksaan atas kesalahan pecah amanah jenayah kerana didakwa mengeluarkan wang parti berjumlah RM1 juta daripada bank tanpa mendapat kebenaran Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu.
Syed Saddiq yang dibicarakan di Mahkamah Seksyen Kuala Lumpur berdepan hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun dan sebatan, selain perlu membayar denda jika didapati bersalah.
Timbalan Pendakwa Raya Faridz Gohim Abdullah meminta hakim mengenakan jaminan RM500,000 dengan seorang penjamin buat Syed Saddiq.
Faridz turut mahu mahkamah memerintahkan Syed Saddiq melaporkan diri ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebulan sekali.
Dia turut meminta mahkamah menjatuhkan perintah melarang Syed Saddiq memberi komen mengenai kes ini atas alasan subjudice.
Peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Syed Saddiq membantah nilai jaminan diminta Faridz dengan berkata nilai itu terlalu tinggi.
Gobind yang kemudian meminta jaminan diturunkan kepada RM300,000 turut berkata bahawa tiada sebab untuk mengenakan 'perintah menyeluruh' terhadap Syed Saddiq termasuk menghalang pengasas bersama parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) itu bercakap tentang kesnya.
Tambah Gobind, kes tersebut tidak terlalu serius seperti cuba digambarkan Faridz.
“Jika kesalahan ini serius, seperti yang didakwa pihak pendakwaan, mengapa beliau hanya didakwa sekarang? Izin untuk mendakwa ditandatangani pada Januari, dan beliau hanya didakwa sekarang, beberapa hari sebelum Parlimen bersidang semula?
“Tiada aduan beliau mengganggu calon saksi. Ini adalah tuduhan liar,” katanya Gobind.
Seorang lagi peguam Syed Saddiq, Ambiga Sreenevasan berhujah bahawa permohonan perintah larangan (“gag order”) terhadap Syed Saddiq bercanggah dengan hak kebebasan bersuara baginya.
Selain, Gobind Singh Deo dan Ambiga Sreenivasan, Syed Saddiq turut diwakili Haijan Omar.
Hakim Azura Alwi kemudian membenarkan ikat jamin RM300,000 dan menetapkan 10 Sept untuk sebutan semula kes selepas Faridz memberitahu mahkamah bahawa pihak pendakwaan mahu memindahkan kes Syed Saddiq di Johor Bahru ke Kuala Lumpur.
Sementara itu Syed Saddiq semalam menegaskan beliau bersedia untuk berdepan kes itu di mahkamah.
Katanya, beliau lebih rela menghadapi dugaan itu daripada menyertai Perikatan Nasional (PN).
![]() |
Syed Saddiq dakwa sering terima ugutan |
“Setiap kali ada undian penting di Parlimen, ugutan sebegini akan datang. Pada Julai, Disember, Januari dan sekarang seminggu sebelum Parlimen bermula (ugutan sama dibuat).
“Berani kerana benar… Ketika keadaan seperti inilah yang menjadi peringatan mengapa saya menyertai politik,” tambahnnya.
0 Comments