SPRM digesa dedah hasil siasatan sumber kekayaan Rina Harun

 


SEKUMPULAN lima Ahli Parlimen mahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan hasil siasatan ke atas keupayaan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Rina Harun melangsaikan hutang bernilai jutaan ringgit.

Melalui satu kenyataan, mereka turut mendesak SPRM mendedahkan bagaimana Ketua Srikandi parti BERSATU itu berjaya mengumpul kekayaan dan mempunyai sumber untuk melunaskan hutangnya kepada ssebuah syarikat penerbitan berpengkalan di Paris dalam tempoh singkat.

Menurut mereka lagi, berdasarkan aset yang diisyhtihar Rina setahun yang lalu, ia adalah mustahil untuk dia melunaskan hutang tersebut, menurut mereka.

“Tindakan melambatkan siasatan ke atas menteri Perikatan Nasional ini hanya menimbulkan persepsi negatif orang awam terhadap integriti SPRM sebagai sebuah badan yang bebas, adil dan mempunyai martabat tinggi untuk membanteras amalan rasuah dalam negara,” kata lima Ahli Parlimen berlainan parti itu dalam kenyataan.

Lima ahli Parlimen itu ialah Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub, Setiausaha Agung Pejuang, Amiruddin Hamzah, Ketua Wanita Warisan, Isnaraissah Munirah Majilis, Ahli Parlimen dari KEADILAN, Sivarasa Rasiah serta bekas timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching dari DAP

Media sebelum ini melaporkan satu laporan SPRM dibuat terhadap Rina pada Februari lalu.

Ia bagi menggesa agensi antirasuah itu menyiasat bagaimana menteri kerajaan Perikatan Nasional (PN) itu dapat melangsaikan hutangnya kepada Novovision.

Sebelumnya, satu pernyataan tuntutan terhadap Rina difailkan syarikat itu pada 8 Nov 2018 menyatakan jumlah penuh perlu dibayar sebelum 31 Julai 2019 untuk beberapa filem, persembahan komedi dan dokumentari komedi yang dijual kepada tiga syarikat.

Menurut latar belakang kes seperti dilaporkan sebuah portal berita, Rina antara pengarah syarikat yang kini tidak lagi berfungsi, Eurofine (M) Sdn Bhd, Fine Mobile Network Sdn Bhd dan Fine TV Network Sdn Bhd, membeli beberapa rancangan komedi serta dokumentari daripada syarikat itu.

Rina dan seorang lagi pengarah syarikat, Ida Rahayu Md Noor pada Mei 2014 memasuki perjanjian jaminan dengan Sarl Novovision bahawa mereka akan secara peribadi dan bersama bertanggungjawab bagi semua liabiliti syarikat.

Rina dilapor menerima notis bankrap atas hutangnya berjumlah RM1,340,642.02 setakat 17 Nov 2020 kepada syarikat berkenaan.

Peguam Mark Ho, yang mewakili syarikat Perancis itu kemudian dilapor media sebagai berkata, hutang tertunggak sebenarnya yang enggan didedahkan nilainya, dibayar pada awal Februari lalu.

Adun Canning, Jenny Choy antara individu terawal membangkitkan persoalan tentang kemampuan Rina membayar hutangnya.

Sumber kekayaan Rina Harun dipersoalkan
Berdasarkan senarai pengisytiharan harta yang didedahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dimana aset dimiliki Rina hanya RM72,000 dengan pendapatan RM34,004.48 (ketika itu), ia menjadi persoalan yang perlu dijawab bagaimana menteri itu dapat membayar hutang tersebut dalam masa singkat iaitu 15 bulan.

"Jika pendapatan Rina tidak berubah sejak 2019, dia perlukan 40 bulan untuk mengumpul dana dan selesaikan hutang, dengan syarat dia tidak belanja walau satu sen daripada pendapatan itu," kata Naib Ketua Pemuda DAP itu dengan mempersoalkan apakah Rina membuat pengisytiharan palsu berkenaan asetnya pada November 2019.

Post a Comment

0 Comments