Persenda inisiatif rakyat, inikah PM yang mahu diharapkan? - AMK


TINDAKAN
Mahiaddin Md Yasin yang didakwa mempersendakan inisiatif bendera putih dikibarkan rakyat negara ini dipertikai Angkatan Muda KEADILAN.

Ketuanya, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, tindakan Mahiaddin itu mengambarkan kerajaan tidak peka terhadap bebanan dihadapi rakyat sehingga ada yang mengambil jalan pintas dengan 'membunuh diri'.

"Saya telah melihat satu rakaman yang tular mengaitkan perdana menteri mempersenda inisiatif bendera putih rakyat pada majlis Pelancaran Bakul Makanan Prihatin Negara.
 
"Dalam rakaman tersebut jelas beliau berkata 'Tak payah naik bendera putih ke, bendera hitam ke. Nak naik bendera biru takpe', sambil diiringi gelak ketawa.

"Adakah kesusahan rakyat hari ini hanya bahan jenaka buat perdana menteri. Adakah inisiatif rakyat yang prihatin terhadap rakyat ini hanya bahan jenaka buat beliau," kata Akmal melalui satu kenyataan media.

Ahli Parlimen Johor Baharu itu turut menegaskan bahawa bendera putih yang dimaksudkan Presiden Bersatu itu adalah kempen yang dimulakan rakyat dalam membantu masyarakat lain yang memerlukan bantuan.

Bendera putih merupakan simbolik gerakan berkenaan yang bukan sahaja membantu dari segi makanan, malah ada yang memerlukan susu kanak-kanak, lampin pakai buang dan sebagainya.

"Dalam kempen ini, bukan sahaja bakul makanan, malah ada yang memerlukan susu, lampin pakai buang dan sebagainya. Inisiatif ini digerakkan berikutan peningkatan kes bunuh diri akibat tekanan kerana kehilangan punca pendapatan.

"Mereka yang memerlukan bantuan diminta mengibarkan bendera putih agar jiran tetangga dapat bantu. Jika rakyat tidak mengibarkan bendera putih kerana terdesak memerlukan bantuan, adakah kerajaan akan bantu?' soalnya.

Akmal persoal sikap ditunjuk Mahiaddin
Sementara itu Akmal mempersoalkan sikap Mahiaddin itu yang bukan sahaja tidak menyokong inisiatif rakyat malah mempersenda gerakan tersebut sedangkan puncanya adalah dari kegagalan kerajaan sendiri.

"Adakah ini kerajaan yang rakyat ingin beri amanah untuk menjaga rakyat untuk tempoh 10 atau 20 tahun akan datang," soal Akmal. 

Post a Comment

0 Comments