MAJLIS Presiden Pakatan Harapan (HARAPAN) mengulangi pendirian mereka bahawa Peguam Negara, Idrus Harun perlu dipecat, atau beliau sendiri meletakkan jawatan secara terhormat.
Melalui satu kenyataan semalam, majlis itu berkata Idrus dilihat tidak lagi mampu menjalankan tugas rasminya secara profesional dan berkecuali (neutral) dalam menegakkan undang-undang, termasuk dalam isu memberi nasihat kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
Isu ini timbul susulan siri kenyataan umum Peguam Negara, termasuk berkaitan isu penzahiran sokongan terhadap Perdana Menteri serta kenyataannya pada 25 Jun lalu berhubung kuasa-kuasa YDPA dan nasihat Jemaah Menteri yang dianggap telah melampaui batas adab kerana memperkecil dan memperlekehkan titah pandangan Raja-Raja Melayu.
Idrus sebelum ini dilapor berkata, Baginda hendaklah menerima dan bertindak mengikut nasihat itu, menurut Perkara 40(1) dan (1A) Perlembagaan Persekutuan. Perkara itu dijelaskan selepas Agong menitahkan supaya Parlimen segera bersidang.
“Walaupun Perkara 145(2) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa “Menjadi kewajipan Peguam Negara menasihati Yang di-Pertuan Agong atau Jemaah Menteri atau mana-mana Menteri mengenai apa-apa perkara perkara undang-undang…”,
"Namun kini timbul tanda tanya apakah Peguam Negara kini boleh menjalankan fungsi tersebut secara tidak berat sebelah (‘impartial’)." kata kenyataan ditandatangai Pengerusi HARAPAN yang juga Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng itu.
Selain isu tersebut, majlis tersebut turut mempersoalkan kelewatan tindakan membabitkan kes-kes profil tinggi tertentu antaranya membabitkan bekas Pengerusi Prasarana, Tajuddin Abdul Rahman yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 27 Mei lalu.
![]() |
Majlis Presiden desak Idrus letak jawatan |
“Ini memang luar biasa apabila seseorang itu ditahan lebih sebulan yang lalu namun masih belum didakwa, dan semestinya menimbulkan tanda tanya samada wujud motivasi lain dengan melengahkan pendakwaan di mahkamah,” kata mereka.
0 Comments