PIHAK pendakwaan dalam kes pertuduhan rasuah membabitkan bekas Menteri Wilayah Persekutuan Tengku Adnan Tengku Mansor dilapor memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan.
Bernama dalam laporannya yang memetik sumber Jabatan Peguam Negara berkata, notis rayuan itu difailkan kira-kira 12.30 tengah hari tadi dengan merayu keputusan berkenaan untuk dibawa ke Mahkamah Persekutuan.
Pada 16 Julai lepas, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Tengku Adnan, yang lebih dikenali sebagai Ku Nan untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara 12 bulan serta denda RM2 juta yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Hakim Suraya Othman, yang membacakan keputusan majoriti 2-1 itu berkata mahkamah mendapati cek RM2 juta yang diterima Tengku Adnan daripada ahli perniagaan Chai Kin Kong adalah sumbangan politik kepada Umno.
Hakim Ahmad Nasfy Yasin bersetuju dengan Suraya manakala hakim Abu Bakar Jais menolak rayuan Tengku Adnan.
Abu Bakar ketika menolak rayuan itu berkata dia bersetuju dengan keputusan hakim Mahkamah Tinggi bahawa Tengku Adnan telah menerima cek itu untuk dirinya sendiri dan ia bukan sumbangan politik untuk Umno.
Sebelumnya pada Disember tahun lalu, hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan dan denda RM2 juta terhadap Tengku Adnan setelah mendapati Ahli Parlimen Putrajaya itu bersalah atas pertuduhan tersebut di akhir kes pembelaan.
![]() |
Tengku Adnan sebelum ini disabitkan bersalah |
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Bandar Damansara di sini pada 14 Jun 2016 mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda.
0 Comments