ADUN gesa segera beri vaksin kepada penghantar makanan


KERAJAAN Negeri Pahang digesa untuk memberi keutamaan pemberian vaksin kepada penghantar makanan di sekitar negeri itu.

Gesaan itu disuarakan ADUN Semambu, Lee Chean Chung setelah menerima aduan daripada sebuah syarikat penghantaran makanan di situ yang menyuarakan kebimbangan apabila pekerjanya belum divaksin.

"Saya telah menulis surat kepada Jabatan Kesihatan Negeri Pahang supaya vaksinasi penghantar makanan diutamakan.

"Mereka adalah petugas barisan depan. Setiap hari puluhan pekerja syarikat ini menghantar kira-kira 400 hingga 500 pesanan di seluruh Kuantan," kata Setiausaha Agung KEADILAN itu dipetik.

Gesaan supaya penghantar makanan segera divaksinasi pernah disuarakan seorang bekas timbalan menteri sebelum ini.

Hannah Yeoh yang merupakan Ahli Parlimen Segambut berkata, golongan itu termasuk pemandu e-hailing dan penghantar makanan wajar dilindungi sesegera mungkin.

Sementara itu Chean Chung turut mendakwa masih ramai penduduk Kuantan yang belum mendapat tarikh temu janji vaksinasi mereka.

"Ada yang telah daftar sejak Februari, ada yang berusia lebih 60 tahun.

"Adakah Kuantan yang dikuatkuasakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) tidak (dipandang) serius oleh mereka?" soalnya.

Segera beri vaksin kepada penghantar makanan
Difahamkan setakat 17 Julai lalu, sebanyak 72.8 peratus penduduk dewasa Kuantan telah mendaftar untuk vaksinasi tetapi hanya 18.7 peratus daripadanya yang telah menerima dos pertama.

Post a Comment

0 Comments