Pandu uji Ford Raptor : MB Kedah dikenakan kompaun


PIHAK berkuasa polis memaklumkan bahawa keputusan mengenakan kompaun terhadap Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor telah dibuat.

Ia susulan tindakan  Timbalan Pesuruhjaya 1 Pas Kedah  itu yang didakwa melanggar SOP perintah kawalan pergerakan berkait pandu uji sebuah pikap di sebuah pusat jualan dan pameran kenderaan di Autocity Juru, Pulau Pinang bulan lepas.  

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain ketika dihubungi berkata, pihaknya telah menerima arahan itu dan akan mengeluarkan kompaun terhadap Sanusi dalam masa terdekat.
 
Mohd Shuhaily berkata pihaknya sudah menerima arahan tersebut namun enggan mengulas lanjut.

"Arahan kita sudah terima dan akan disampaikan kepada pejabat Menteri Besar dalam masa terdekat.

"Kenyataan rasmi dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) akan dikeluarkan selepas proses penyerahan dilakukan dalam masa terdekat," katanya dipetik laporan Sinar.

Pada 5 Jun lalu, seorang wanita dikenali sebagai Nini Siron berkongsi di Facebook, yang dia melihat Sanusi dan dua pegawainya memandu uji sebuah pikap jenama Ford Raptor bernilai RM211,000 di Juru Auto City.

Beliau kemudian membuat laporan polis pada hari sama, yang menjadi asas kepada siasatan terhadap Sanusi memandangkan pandu uji tidak dibenarkan ketika PKP.

Sanusi bagaimanapun menafikan memandu uji kenderaan itu, sebaliknya berkata beliau hanya duduk di sebelah jurujual yang memandu.

Kemudian suri rumah berusia 36 tahun itu kemudian mendakwa diserang di dalam talian oleh penyokong Sanusi yang mendakwa dirinya  melakukan fitnah terhadap pemimpin PAS itu.

Individu tidak bertanggungjawab itu turut didakwa menyebarkan gambar keluarga dan anak lelaki Nini di media sosial dengan tujuan menakut-nakutkannya sehingga beliau terpaksa memfailkan satu lagi laporan polis kerana menjadi mangsa buli siber dan menerima ancaman daripada penyokong Sanusi di Facebook.

Sanusi sebelum ini menafikan dakwaan Nini
Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Abdul Jalil Hassan, yang dipetik laporan FMT pula berkata jumlah kompaun dikenakan tidak didedahkan seperti kelaziman dalam kes berprofil tinggi, dan terpulang kepada seseorang pesalah sama ada mahu menerimanya atau mempertikaikan kompaun itu di mahkamah.

Sebelum ini, kertas siasatan kes tersebut telah dirujuk kepada Pengarah Pendakwaan Negeri (PPN) Pulau Pinang.

Siasatan kes itu dijalankan menurut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan 17(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.

Post a Comment

0 Comments