TINDAKAN kerajaan Perikatan Nasional (PN) memendekkan sidang Parlimen yang akan diadakan semula kepada hanya lima hari dikritik Ketua Pembangkang.
Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui video ringkas di Facebooknya berkata, keputusan itu seperti yang dinyatakan Pejabat Perdana Menteri (PMO) pada Isnin, adalah bertentangan dengan tujuannya
Beliau turut menyifatkan tindakan kerajaan itu sebagai satu bentuk penipuan.
"Sidang parlimen selalunya untuk pastikan kerajaan ditadbir menurut peraturan tata kelola tadbir urus yang elok supaya jangan ada penyalahgunaan kuasa dan ada semak dan imbang.
“Tapi apa yang cuba dilakukan saya rasa satu bentuk penipuan kerana memendekkan sidang, menyegerakan kelulusan beberapa undang-undang ordinan termasuk Ordinan Darurat dan tiada petunjuk bahawa akan ada perbahasan yang terbuka,” kata presiden PKR itu dalam video ringkas di Facebook hari ini.
“Untuk apa sidang Parlimen ini?” soalnya di Facebooknya.
Semalam, Pejabat Perdana Menteri (PMO) berkata Parlimen akan bersidang untuk suatu “mesyuarat khas”, selama lima hari bagi Dewan Rakyat mulai 26 Julai manakala Dewan Negara pula selama tiga hari mulai 3 Ogos.
Seorang Ahli Parlimen sebelum ini mempersoalkan terma "mesyuarat khas' yang digunakan dalam kenyataan itu. Malah sebilangan mereka menyatakan rasa hairan pada kenyataan yang tidak menyebut perbahasan dewan selain bertujuan untuk memberi penerangan kepada Ahli-Ahli Parlimen mengenai Pelan Pemulihan Negara dan meminda semua perundangan dan peraturan bagi membolehkan persidangan Parlimen diadakan secara hibrid.
Mengulas lanjut, Anwar yang juga ahli Parlimen Port Dickson mengingatkan Mahiaddin Md Yassin dan kerajaan supaya tidak memperalatkan Speaker Dewan Rakyat.
Tegasnya isu pendemik Covid-19, kebajikan rakyat, peruntukan pada rakyat dan salah guna kuasa yang berlaku hari ini tidak wajar dipandang ringan dan ia perlu dibahaskan.
“Jangan cuba mengguna peraturan sesuka hati tanpa menekankan prinsip asas demokrasi berparlimen iaitu menggunakan parlimen sebagai medan bahas untuk menjaga perlembagaan negara, menyuarakan aspirasi rakyat dan menentukan pemerintahan itu absah, menjalankan tugas dan kuasa mengikut undang-undang,” katanya lagi.
![]() |
Jangan peralatkan Speaker, kata Anwar |
Parlimen digantung sejak 11 Januari berikutan perisytiharan darurat yang akan berakhir pada 1 Ogos.
Bagaimanapun pada bulan lalu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Mustafa Billah Shah bertitah sebanyak dua kali bahawa ia perlu kembali diadakan secepat mungkin.
0 Comments