JKPH gesa reformasi besar dalam pasukan polis


PROSES
pemilihan pegawai tertinggi dalam pasukan polis harus membabitkan bekas hakim dan Parlimen, gesa Jawatankuasa Keselamatan Pakatan Harapan (HARAPAN).

Melalui satu kenyataan semalam, jawatankuasa itu berkata pelantikan pegawai dalam agensi itu tidak seharusnya ada unsur politik dan menteri dalam negeri tidak sepatutnya dilantik sebagai pengerusi kepada badan yang bertanggungjawab membuat keputusan berkenaan.

“Polis Diraja Malaysia harus dipertahankan sebagai badan bebas dan telus untuk memastikan ia boleh mengawal jenayah, membasmi korupsi dan mematuhi undang-undang,” katanya kenyataan tersebut.

Antara yang menganggotai JKPH adalah Faiz Fadzil (Amanah) dan Syahredzan Johan (DAP) yang keduanya adalah peguam serta Syed Ibrahim Syed Noh yang sebelum ini dikenali sebagai aktivis masyarakat.

Isu mengenai campur tangan 'orang politik' dalam pasukan polis pernah diutarakan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Dalam satu sidang media terakhir bersama pengarang-pengarang media pada April lalu, beliau secara terbuka mengkritik Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin dengan berkata pemimpin Bersatu itu tidak sewajarnya mempengerusikan Suruhanjaya Perkhidmatan Polis (SPP).

Hamid mencadangkan suruhanjaya itu  yang antara lain terbabit dalam membuat keputusan berhubung pertukaran pegawai kanan polis diketuai oleh pihak tidak berkepentingan, seperti bekas ketua hakim negara.

Menteri tegasnya sepatutnya hanya terlibat dalam penggubalan dasar dan tidak harus terbabit dalam mengatur pelantikan pegawai.

Sementara itu, JKPH dalam kenyataannya turut mencadangkan tugas pentadbiran polis disumberluarkan kepada penjawat awam supaya pasukan itu boleh memfokuskan kepada usaha menjaga ketenteraman awam.

“Langkah ini bagi memodenkan peranan PDRM untuk menghadapi cabaran semasa susulan perubahan iklim sosiopolitik, masyarakat yang lebih peka dengan hak mereka serta celik media sosial,” katanya.

Terakhir, jawatankuasa itu turut mencadangkan satu mekanisme telus diperkenalkan untuk menangani aduan salah laku polis bagi menjadikannya sebagai pasukan profesional.

PDRM sebagai badan bebas mesti dipertahankan
“PDRM mesti diberi ruang dan sokongan melaksanakan mandat, dalam masa sama PDRM harus menghormati undang-undang sedia ada ketika menjalankan tugas,” katanya.

JKPH  melalui kenyataan itu juga berkata, ketiga-tiga cadangan itu dipetik daripada Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan PDRM dipengerusikan Mohamed Dzaiddin Abdullah pada 2005.

“Selepas 16 tahun, isu pokok dalam laporan ini masih belum dilaksanakan,” kata mereka lagi
.

Post a Comment

0 Comments