Buka Parlimen: Istilah 'mesyuarat khas' dalam kenyataan PMO dipertikai

 

ISTILAH “mesyuarat khas” yang digunakan kerajaan ketika mengumumkan pembukaan Dewan Rakyat untuk bersidang semula mulai 26 Julai ini dipersoal seorang Ahli Parlimen Pakatan Harapan (HARAPAN).

Hassan Karim yang mewakili di Parlimen Pasir Gudang berkata, istilah digunakan itu adalah mengelirukan dan sepatutnya tidak digunakan.

Dipetik laporan FMT, Hassan yang merupakan seorang peguam menegaskan bahawa dalam Peraturan Mesyuarat atau “Standing Order” serta Perlembagaan Persekutuan, tidak disebut istilah mesyuarat khas dan mesyuarat biasa.

“Seperti tiada kalimah mesyuarat khas dan mesyuarat biasa, maka begitu juga tidak ada kalimah persidangan khas atau persidangan biasa,” katanya sambil menjelaskan hanyalah istilah persidangan dan mesyuarat seperti dinyatakan di bawah Peraturan 98 Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat boleh digunakan.

Pejabat Perdana Menteri (PMO) pada Isnin memaklumkan bahawa kerajaan bersetuju menasihati Yang di-Pertuan Agong agar mesyuarat khas Penggal Ketiga Parlimen ke-14 diadakan selama lima hari mulai 26 hingga 29 Julai dan 2 Ogos bagi Dewan Rakyat dan tiga hari mulai 3 hingga 5 Ogos bagi Dewan Negara.

Kenyataan itu menyebut bahawa 'Mesyuarat khas' itu bertujuan untuk memberi penerangan kepada Ahli-Ahli Parlimen mengenai Pelan Pemulihan Negara dan meminda semua perundangan dan peraturan bagi membolehkan persidangan Parlimen diadakan secara hibrid.
 
Seorang Ahli Parlimen lain sebelum ini mempertikai kenyataan pembukaan semula persidangan Dewan Rakyat yang dikeluarkan PMO yang menyebut bahawa ia adalah bagi memberi penerangan kepada Ahli-Ahli Parlimen berkenaan rancangan kerajaan.

“Memberi penerangan mengenai Pelan Pemulihan Negara kepada Ahli Parlimen. Maksudnya hanya jelaskan kepada Ahli Parlimen dan Ordinan Darurat dan isu Covid-19 tidak dibahaskan,” soal Yeo Bee Yin (HARAPAN - Bakri) di Facebooknya.

Sementara itu Hassan menegaskan bahawa pembukaan semula Parlimen perlu mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan di bawah Bab 4 serta mematuhi Perkara 44 hingga 65.

Mesti berpandukan perlembagaan, kata Hassan
Jelasnya jika kaedah baharu mengguna pakai istilah 'Mesyuarat khas' yang bercanggah dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan Bab 4 dan bercanggah juga dengan ‘Standing Order’ sedia ada, maka persidangan itu nanti adalah cacat, tempang, tercemar dan rosak.

“Jika istilah mesyuarat khas itu sengaja diubah dan direka untuk mencacatkan peranan serta fungsi Parlimen, maka tindakan sedemikian adalah tidak sah, tidak berperlembagaan dan bertentangan dengan konvensi institusi demokrasi berparlimen, bertentangan prinsip pengasingan kuasa dan bercanggah dengan peruntukan undang-undang.”

"Ia sesuatu yang tidak diinginkan rakyat, Yang di-Pertuan Agong serta Raja-raja berperlembagaan.” tambah bekas Pengerusi KEADILAN Johor itu lagi.