Rafidah kritik kerajaan, kabinet saiz mega tapi lemah

 
BEKAS MENTERI, Rafidah Aziz sekali lagi membuat kritikan terhadap pentadbiran Mahiaddin Yassin yang menurutnya telah menyebabkan rakyat “menderita dan berputus asa” ketika berdepan ketidaktentuan akibat pandemik.

Dipetik laporan media, Rafidah yang pernah mengetuai Perdagangan Antarabangsa dan Industri mempersoalkan saiz kabinet kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang besar namun tidak konsisten melaksana dasar negara.

Beliau merujuk kelemahan kementerian Kementerian Pertanian dan Industri Makanan membantu sebahagian petani di bawah kawasan “lockdown” yang didakwa tidak mampu menuai hasil tanaman menyebabkan ia terpaksa dibiarkan rosak sehingga menjejas bekalan makanan negara dan kerugian kepada golongan berkenaan.

“Tiada pemantauan terhadap komuniti pertanian seperti di kawasan penanaman sayur di kawasan tinggi? Ya, terdapat jangkitan Covid-19 di sebuah ladang, kementerian sepatutnya memantau sektor ini dan bekerjasama dengan kerajaan negeri serta pihak berkuasa negeri.

“Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) boleh campur tangan dengan membeli atau mengatur penjualan apa sahaja hasil tanaman yang ada serta memastikan ia sampai kepada peruncit.

“Ia malah boleh diatur untuk disumbang kepada pihak memerlukan. Menyedihkan untuk menyaksikan hasil tanaman dibazirkan sedangkan ada orang yang mengibarkan bendera putih kerana mereka tiada makanan.” katanya.

Terdahulu media melaporkan bahawa pekebun sayur di Cameron Highland tidak dapat keluar menuai hasil tanaman mereka sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD)  dan terpaksa membiarkannya rosak begitu sahaja.

Lau Sai Hoong, yang juga ahli Pasukan Petugas Pekebun Tringkap berkata, pihaknya sukar menganggarkan kerugian yang dihadapi setiap pekebun sepanjang “lockdown”.

Beliau turut memberi amaran ramai pekebun mungkin tidak dapat bertahan sekiranya PKPD dilanjutkan memandangkan mereka tidak keluar ke kebun sejak 28 Jun lagi.

Selain kegagalan kementerian terbabit menangani isu pekebun sayur, Rafidah turut membangkitkan isu di Kementerian pendidikan.

Vateran politik itu mempersoalkan jika menteri pendidikan dan dua timbalannya mengkaji cara untuk merombak penyampaian pendidikan dan memberi amaran Malaysia tidak mampu kehilangan generasi kerana Putrajaya gagal memberikan respons secukupnya terhadap normal baharu.

Beliau turut bertanyakan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat jika ia mengkaji peningkatan dalam kes bunuh diri sejak tahun lalu dan menggesa penyelesaian jangka panjang dicari berbanding hanya mengagihkan bakul makanan.

“Setiap kementerian dan jabatan perlu sentiasa mengadakan libat urus dengan pihak berkepentingan masing-masing, khasnya apabila ia bercadang memperkenalkan dasar baharu.

“Saya pasti sekarang menteri sudah tahu kumpulan mana merupakan pihak berkepentingan mereka. Saya tidak maksudkan pengundi, ahli parti dan penyokong. Mereka perlu proaktif di peringkat akar umbi.

“Ia bukan sekadar kita jaga kita. Ia adalah kita menjaga semua kerana kita boleh ditafsirkan sebagai ‘kami’ atau ‘orang kita’. Bukan, ia adalah rakyat dalam masyarakat kita.” katanya.

 Rafidah konsisten kritik kelemahan k'jaan PN
Sementara itu beliau turut mengkritik sikap sesetengah pengawai penguatkuasa yang menurutnya lebih gemar menggunakan pendekatan “bumi hangus” dalam penguatkuasaan.
 
Tegasnya, pihak penguatkuasaan sewajarnya bersifat lebih empati semasa menjalankan tugas mereka.

Post a Comment

0 Comments