Majlis Agama Islam Narathiwat siasat dakwaan pemimpin PAS nikah online



PIHAK  Majlis Agama Islam Wilayah Narathiwat Thailand dilapor bakal menjalankan siasatan berhubung dakwaan seorang pemimpin PAS yang bernikah secara dalam talian seperti yang tular baru-baru ini.

Timbalan Yang di-Pertuanya, Abdul Aziz Che Mamat dipetik laporan media berkata, pihaknya tidak pernah mengiktiraf majlis pernikahan secara dalam talian.

Menurutnya, siasatan yang akan dijalankan itu termasuk memanggil seorang imam Masjid Kedai Baru, Sungai Golok yang dipercayai menjalankan majlis nikah itu.

"Kami diberitahu bahawa pasangan itu telah menggunakan khidmat imam dari Masjid Sungai Golok dan perbualan antara pengantin perempuan dan imam diadakan melalui video.

"Pihak majlis agama Islam itu tidak pernah meluluskan akad nikah secara dalam talian untuk digunakan para imam di wilayah berkenaan setakat ini

“Kita akan panggil imam itu, untuk dapatkan maklumat, kita akan tanyakan perkara itu,” katanya dipetik.
 
Difahamkan, imam berusia 50-an terbabit telah bertugas di sebuah masjid di wilayah Sungai Golok selama lebih daripada dua tahun.

Terdahulu, tular rakaman perbincangan antara ahli politik yang merupakan seorang timbalan menteri dengan dua lelaki lain yang dipercayai saksi dalam majlis pernikahan itu bersama imam terbabit. 

Manakala salinan sijil nikah pasangan itu yang tular di media sosial turut memaparkan maklumat berkenaan tarikh pernikahan pada 1 Jun lalu ketika hari kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengenakan PKP penuh termasuk di Kelantan.

Dia difahamkan turut menyerahkan mas kahwin sebanyak RM11,111 kepada isteri mudanya yang  berusia 20-an dan dikatakan berasal dari Selangor.

Majlis agama Narathiwat tak iktiraf nikah online 
“Dia berkahwin menggunakan wali hakim dari Thailand dan pendaftaran kahwin pun di sana,” kata sumber yang dipetik lapor Kosmo!
 
Tindakan pemimpin PN itu mengundang kecaman ramai terutama ia berlaku ketika rakyat bergelut untuk terus hidup susulan hilang pendapatan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berlanjutan.

“Di saat rakyat lapar, dia yang bergaji puluhan ribu tambah bini!

“Tok Lebai Pas yang bertaraf “kayangan” guna sindiket nikah online dengan imam yang berada di Thailand," kata seorang pengguna laman sosial dengan nama Johar Ismail.
 

Post a Comment

0 Comments