Ahli Parlimen Jerantut sokong Anwar, mahu rasa pentadbiran kerajaan baharu


SEORANG
Ahli Parlimen Umno mengaku menandatangani akuan bersumpah (SD) yang menyokong Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim untuk menjadi perdana menteri.

Ahmad Nazlan Idris (Parlimen Jerantut) dipetik laporan Mingguan Malaysia berkata tindakannya itu susulan kesediannya mencuba sebuah kerajaan baharu untuk mentadbir negara terutama setelah pentadbiran sebelum ini dibawah Dr Mahathir Mohammad gagal dan pemerintahan Perikatan Nasional (PN) dilihat tidak membantu rakyat.

"Jadi, apabila ada idea mencadangkan Anwar sebagai perdana menteri, saya bersetuju.

"Pada saya tidak salah kerana kerajaan hari ini belum berjaya pada hemat saya, jadi baik kita beri peluang kepada kerajaan baru.

"Masih ada dua tahun ketika ini yang boleh kita cuba, kita rasa pulalah kerajaan baru, mungkin kerajaan baru itu nanti lebih berwajah baru,” katanya dipetik laporan itu.

Sebagai rekod, pada Oktober tahun lalu, Anwar yang juga adalah Ketua Pembangkang di Parlimen mendakwa sudah mendapat sokongan lebih 120 Ahli Parlimen bagi membentuk kerajaan.

Beliau berkata, dokumen sahih mengenai majoriti kukuh dan meyakinkan daripada Ahli Parlimen menyokongnya sudah dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah.

Walau bagaimanapun, jumlah sebenar sokongan diperoleh Presiden KEADILAN itu masih tidak didedahkan.

Ahmad Nazlan juga tidak mendedahkan berapa ramai Ahli Parlimen Umno lain yang telah memberikan sokongan kepada Anwar.

Ahmad Nazlan dilapor mengaku sokong Anwar
Sementara itu difahamkan, ada desas-desus Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi sedang berusaha untuk mengeluarkan Umno daripada PN, yang akan menyebabkan keruntuhan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Sekumpulan ahli parlimen Umno, termasuk Hishammuddin dan naib presiden Umno Ismail Sabri pula dikatakan berusaha untuk menyekat usaha tersebut.
 

Post a Comment

0 Comments