Strategi kurung rakyat dah tak lagi relevan - TMJ


TUNKU MAHKOTA JOHOR, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menggesa supaya strategi melawan Covid-19 diubah secara holistik supaya tidak menekan rakyat.

Menurut Tunku Ismail, rakyat sudah dikurung hampir dua bulan dan beliau bimbang ia akan memberi kesan lebih buruk kepada rakyat.

Tambahnya lagi, dengan SOP dijalankan sekarang statistik harian Covid-19 masih menunjukkan jumlah kes yang tinggi.

"Setakat mengurung rakyat sudah tidak lagi relevan.

"Saya bimbang rakyat kini mengalami masalah kesihatan mental dan fizikal yang teruk. Di samping itu, masalah sosioekonomi juga timbul akibat situasi ini yang berpanjangan ," katanya dalam satu kenyataan dimuat naik dalam Facebook rasmi beliau pada Ahad.

Terdahulu beliau mengadakan perjumpaan dengan Menteri Besar Johor Hasni Mohamad bersama Exco Pelancongan, Belia dan Sukan Onn Hafiz Ghazi dan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor Azmi Rohani.

Dalam perjumpaan tersebut beliau meminta kerajaan negeri mempercepatkan lagi pelaksanaan inisiatif-inisiatif melawan pandemik Covid-19 yang kini dalam keadaan yang kritikal

Selain menggesa prosedur operasi standard (SOP) patut dikaji semula secara holistik dan berasaskan data yang sahih, Tunku Ismail turut menitahkan supaya proses vaksinasi untuk rakyat Johor dipercepat.

Tunku Ismail gesa kaji semula SOP


"Penggunaan ‘rapid test kit’ dan test kit peribadi juga perlu diperkenalkan secepat mungkin untuk semua orang dan digunakan secara meluas, khususnya untuk sektor-sektor yang penting selain daripada para barisan hadapan, khususnya sektor kritikal yang melibatkan pemprosesan ubatan, bahan makanan dan barang keperluan asas,” katanya.


"Saya juga telah menitahkan agar proses vaksinasi untuk Bangsa Johor dipercepatkan melalui pelbagai inisiatif termasuk untuk kerajaan negeri Johor memperoleh vaksin secara pembelian terus," katanya.

Post a Comment

0 Comments