Kes terus meningkat: Salah rakyat lagi? - Anwar


DATUK SERI Anwar Ibrahim sekali lagi mengkritik kerajaan Perikatan Nasional dengan mendakwa mereka gagal dalam menangani krisis pandemik Covid-19.

Kritikan Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) itu menyusul laporan harian Covid-19 semalam yang menunjukkan peningkatan drastik dengan 11,079 kes sekaligus menjadi angka paling tinggi sejak Covid-19 melanda negara.

Dengan peningkatan kes sebanyak itu, Anwar mempersoalkan langkah diambil kerajaan pimpinan Mahiaddin Md Yassin termasuk keberkesanan pelbagai langkah dikuatkuasakan yang sehingga kini dilihat terus gagal mengekang penularan wabak itu.

Anwar turut mempersoalkan keberkesanan fungsi Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang diperkenalkan kerajaan baru-baru ini yang didakwa bertujuan membendung wabak itu.

“Angka makin menaik setiap hari. Mana dia pelan Pemulihan? Sudah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sudah darurat, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) pun sudah, 'total lockdown' pula lagi. Semuanya gagal. Apa lagi alasan kali ini?

“Salahkan rakyat lagi?” ciapnya menerusi Twitter beliau pada Selasa.

Sehingga semalam jumlah kumulatif Covid-19 di negara ini kini mencecah 855,949 kes.

Kes aktif dengan kebolehjangkitan pula adalah 96,236 kes dengan 972 kes dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan 456 daripada mereka memerlukan bantuan alat pernafasan.

Kumulatif kematian ketika ini adalah 6,385 dengan 125 kes direkodkan semalam.

Selain berdepan peningkatan jangkitan wabak itu, kerajaan dikritik setelah mengadakan sekatan berpanjangan yang menyebabkan sebahagian rakyat berdepan kehilangan pekerjaan dan pendapatan.

Anwar tanya apa lagi alasan PN?


Kelewatan bantuan memaksa rakyat menggerakan kempen #BenderaPutih bagi membantu mereka yang berdepan kesukaran sepanjang tempoh sekatan.


Sepanjang tempoh pendemik ini juga kes bunuh diri dan masalah mental turut dilapor meningkat.

Disebalik kritikan rakyat, kerajaan dilihat enggan mengaku kegagalan mereka.

Post a Comment

0 Comments