Jangan derhaka, kata HARAPAN kepada Azhar dan k'jaan PN


SPEAKER Dewan Rakyat, Azhar Harun dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) diingatkan supaya tidak derhaka terhadap titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah berkenaan pembukaan sidang parlimen.

Ingatan itu disuarakan Majlis Presiden Pakatan Harapan (HARAPAN) setelah Azhar pada 15 Julai lalu menyatakan persidangan Dewan Rakyat pada 26 Julai hingga 2 Ogos hanyalah persidangan khas bagi mendengar penerangan menteri tanpa ada perbahasan oleh ahli-ahli Parlimen.

Majlis itu membangkitkan semula titah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah berhubung isu pembukaan semula Parlimen seperti yang dizahirkan Baginda sebelum ini.

"Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 16 Jun 2021 telah menzahirkan titah pandangan bahawa sidang parlimen perlu diadakan segera supaya ahli-ahli Dewan Rakyat dapat membahaskan Ordinan-ordinan Darurat, Pelan Pemulihan Negara dan perbelanjaan berkaitan pandemik Covid-19.

"Seri Paduka Baginda telah menitahkan pandangan yang sama pada 24 Februari dan 29 Jun 2021

"Oleh itu, Pakatan Harapan mendesak Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan kerajaan Perikatan Nasional agak tidak derhaka terhadap titah pandangan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

"Buka ruang perbahasan serta diputuskan bagi membolehkan parlimen berfungsi semula secara normal dan Ahli-ahli Dewan Rakyat boleh menunaikan tanggungjawab murni mereka membela hak rakyat," kata Majlis  itu melalui satu kenyataan

Tambah kenyataan itu, Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim pada 12 Julai lalu telah menghantar usul kepada Azhar untuk membahaskan perkara-perkara yang digesa Tuanku di parlimen.

"Tidak ada usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri dibentangkan oleh Pakatan Harapan yang mahu tumpuan diberikan hanya kepada masalah rakyat ekoran krisis Covid-19 dan kemelesetan ekonomi," jelasnya.

Sebelum ini ramai Ahli Parlimen mempersoal tujuan sidang itu diadakan, berdasarkan kenyataan oleh Pejabat Perdana Menteri (PMO) bertarikh 5 Julai lalu, sidang itu dirujuk sebagai 'mesyuarat khas'.

Benarkan Ahli Parlimen tunai tanggungjawab


'Mesyuarat khas' itu bertujuan memberi penerangan kepada Ahli-Ahli Parlimen mengenai Pelan Pemulihan Negara dan meminda semua perundangan dan peraturan bagi membolehkan persidangan Parlimen diadakan secara hibrid dilakukan.


Azhar sebelum ini berkata sidang penuh Dewan Rakyat akan diadakan pada 6 Sept depan.

Post a Comment

0 Comments