HARAPAN sekali lagi gesa ubah strategi lawan Covid-19


KERAJAAN perlu mengubah fokus pengurusan pandemik Covid-19 dan tidak hanya bergantung kepada pelaksanaan sekatan pergerakan secara umum.

Jawatankuasa Ekonomi Pakatan Harapan (HARAPAN) dalam satu kenyataan berkata pendekatan bersasar dan sistematik melalui kaedah pengenalpastian pantas, pengasingan dan pengekangan jangkitan perlu dilaksana bagi mengekang penularan wabak itu

Perubahan strategi ini jelas mereka akan merintis langkah awal kepada pembukaan semula kegiatan ekonomi secara berperingkat yang akan memulihkan pasaran pekerjaan dan meredakan kebimbangan pelabur.

"Kegagalan dan impak ekonomi daripada siri sekatan pergerakan sebelum ini haruslah menjadi iktibar bahawa PKP bukanlah langkah terbaik untuk memerangi wabak Covid-19 dalam jangka masa panjang.

"Ia tak ubah seperti marahkan nyamuk, kelambu dibakar.

"Kerajaan seharusnya perlu memikirkan langkah-langkah pencegahan penularan pandemik ini yang tidak memudaratkan masa depan negara dan kelangsungan hidup rakyat," kata jawatankuasa itu.

Kenyataan itu menyusul tindakan Dewan Perniagaan dan Industri Malaysia-Jerman (MGCC) dan Dewan Perdagangan dan Industri Jepun Malaysia (Jactim) sebelum ini yang menyuarakan beberapa cadangan kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, antaranya agar menyelaraskan pendekatan bersasar mesra perniagaan, serta menilai impak sekatan pada masa ini.

Dalam surat bertarikh 8 Julai, MGCC menggesa kerajaan menyelaraskan pendekatan bersasar bagi memboleh syarikat melindungi pelaburan dan kakitangan, serta membuat perancangan masa depan.

Melalui kenyataan tersebut juga, jawatankuasa itu menggesa kerajaan berbelanja dan melabur untuk meningkatkan kapasiti perkhidmatan kesihatan awam serta mewujudkan ruang kalis pandemik.

Dengan memetik Pusat Pengendalian Penyakit AS (CDC) mereka menegaskan bahawa selain meningkatkan kadar pemberian vaksin kebangsaan, kerajaan perlu membelanjakan sekurang-kurangnya RM15 bilion dalam bentuk geran, pembiayaan mudah dan insentif cukai untuk mewujudkan ruang kerja, kilang dan kuarters pekerja yang kalis pandemik.

"Kerajaan juga perlu mewajibkan ujian saringan bersubsidi di tempat kerja secara berkala sebagai langkah pencegahan awal membendung penularan wabak serta meningkatkan peruntukan untuk menambahkan kapasiti perkhidmatan kesihatan awam demi menangani wabak Covid-19 dan varian-varian baru virus tersebut," kata jawatankuasa itu lagi.

Untuk rekod, jawatankuasa tersebut dianggotai Ahli Parlimen Petaling Jaya-DAP, Tony Pua Kiam Wee, Ahli Parlimen Kuala Selangor-Amanah, Dzulkefly Ahmad, Ahli Parlimen Subang, Wong Chen, Ahli Parlimen Wangsa Maju,Tan Yee Kew, Ahli Parlimen Kangar, Noor Amin Ahmad, Pemuda Amanah, Ammar Atan dan Syeikh Khuzaifah Bawazeer serta wakil DAP, E Hun Tan dan Raja Iskandar Fareez.

Jawatankuasa itu turut berkata sasaran untuk membuka semula sektor ekonomi secepat mungkin tidak akan tercapai selagi kerajaan gagal mengekang penularan wabak di tempat kerja.

"Kewujudan kluster-kluster tempat kerja sepanjang tempoh PKP membuktikan bahawa kita tidak lagi boleh menggunakan takrifan kabur mengenai tahap keperluan sesuatu sektor ekonomi sebagai kayu ukur untuk diberikan kebenaran terus beroperasi.

"Sebaliknya, kebenaran beroperasi haruslah diberikan berdasarkan penilaian saintifik ke atas risiko penyebaran jangkitan dalam sektor ekonomi tersebut.

Perlu labur untuk tingkat kapasiti kesihatan 
"Dengan pendekatan ini, SOP akan terarah kepada usaha-usaha mengurangkan risiko jangkitan di tempat kerja seperti meningkatkan kualiti pengudaraan di ruang tertutup.

"Penilaian risiko secara saintifik ini juga akan membenarkan Malaysia untuk membuka semula sektor-sektor ekonomi berisiko secara berperingkat dan seterusnya membolehkan lebih banyak peruntukan disalurkan untuk membantu sektor-sektor ekonomi berisiko tinggi mewujudkan ruang kerja kalis pandemik," kata mereka.

Post a Comment

0 Comments