PENGERUSI Perikatan Nasional (PN) Mahiaddin Md Yasin digesa agar menerima hakikat bahawa pentadbirannya gagal.
Ketua Pemuda DAPSY, Howard Lee berkata, Ahli Parlimen Pagoh itu seharusnya menyerahkan kuasanya kembali kepada Parlimen untuk menentukan nasib pemerintahannya.
ADUN Pasir Pinji itu dalam satu kenyataan disiarkan turut mendakwa kerajaan ketika ini cuba untuk memanipulasi badan perundangan, menggunakan kesemua muslihat untuk menyalahgunakan kuasanya agar Dewan Rakyat mengikut kehendak kuasa Eksekutif.
Parlimen, badan perundangan dan suara perwakilan rakyat yang seharusnya menjadi kekuatan tertinggi dalam perlembagaan negara menurutnya telah ditundukkan oleh kerajaan di mana perkara itu bertentangan dengan demokrasi berparlimen.
“Anggota Dewan Rakyat tidak lagi dihormati. Mereka dinafikan hak untuk menilai kerajaan. Mereka tidak dapat membahas dan mengundi proklamasi darurat serta peraturan yang ditetapkan di bawahnya.
“Eksekutif menggunakan semua kuasanya dan mengeksploitasi semua ketidaksempurnaan undang-undang untuk mengelakkan badan perundangan menilai keputusan dan tindakannya.
“Eksekutif juga tidak membenarkan pengundian terhadap usul sama ada usul tidak percaya atau gerakan untuk menerima dan menolak darurat. Ini semua bukti jelas mengenai penipuan dan penyalahgunaan hak prerogatif Eksekutif,” katanya.
![]() |
Jangan jadikan Parlimen sebagai boneka |
Beliau menegaskan bahawa jalan yang benar bagi Kabinet lakukan ketika ini adalah tunduk kepada Parlimen dan bukan sebaliknya.
0 Comments