Anwar pertikai tindakan dakwa Syed Saddiq ketika Parlimen mahu dibuka



KETUA PEMBANGKANG di Parlimen, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempersoalkan kenapa Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dihadapkan ke mahkamah menjelang sidang Parlimen akan datang.

Melalui satu kenyataan, Anwar mendakwa kerajaan menggunakan kuasa untuk “membuli Ahli Parlimen” setiap kali sidang Parlimen semakin dekat kerana bimbang usul undi tidak percaya akan dibentangkan di Dewan Rakyat.

“Usaha-usaha jelik ini akan berterusan tanpa henti, selagi mana mereka masih lemah dan tidak punya majoriti yang cukup di Parlimen,” kata Anwar.

Beliau melalui kenyataan itu turut dimaklumkan oleh beberapa Ahli Parlimen bahawa kepimpinan Perikatan Nasional (PN) menggunakan rasuah dan ugutan untuk memaksa mereka menyokong kerajaan “dengan kedudukan dan perlindungan daripada pendakwaan sebagai habuan”.

“Masa dan ketika Syed Saddiq didakwa ini sangat membingungkan dan menampakkan wujudnya salah guna kuasa. Saya menggesa agar siasatan mesti dijalankan dengan telus dan profesional.” katanya sambil menggesa supaya penyalahgunaan kuasa dihentikan.

 Anwar gesa henti salahguna kuasa
Katanya, pendakwaan terpilih mengikut telunjuk politik memberi isyarat kepada bakal penjenayah supaya “mencipta hubungan lebih dekat dengan orang politik yang berkuasa bagi mendapat perlindungan daripada pendakwaan”.

Syed Saddiq yang merupakan Ahli Parlimen Muar sebelum ini menegaskan bahawa beliau lebih rela berdepan perbicaraan daripada menyokong kerajaan PN.

Melalui satu laporan media, pengasas bersama parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) itu turut mendakwa sudah lebih setahun beliau diugut akan diheret ke mahkamah jika tidak menyokong kerajaan PN.

“Setiap kali ada undian penting di Parlimen, ugutan sebegini akan datang. Pada Julai, Disember, Januari dan sekarang seminggu sebelum Parlimen bermula (ugutan sama dibuat).

“Berani kerana benar… Ketika keadaan seperti inilah yang menjadi peringatan mengapa saya menyertai politik,” tambahnnya.

Dalam perkembangan berkaitan,  kumpulan pembaharuan pilihan raya, Bersih 2.0 turut membidas pendakwaan terhadap Syed Saddiq kerana penyalahgunaan institusi kerajaan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), polis, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Jabatan Peguam Negara tidak boleh dikompromi.
 
Bersih 2.0 berkata, Peguam Negara perlu dijadikan penasihat undang-undang kerajaan tanpa kuasa menentukan pendakwaan kes, manakala Jabatan Pendakwa Raya yang bebas dan terpisah perlu diwujudkan.

Post a Comment

0 Comments