Ucapan Perasmian Kongres Wanita Nasional ke-15



UCAPAN PERASMIAN
DATO SERI DR WAN AZIZAH BINTI WAN ISMAIL
KONGRES WANITA NASIONAL YANG KE-15
4 Jun 2021 (JUMAAT) – 24 SYAWAL 1442H

SALUTASI`
بسم هللا الرحمن الرحيم
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh Terima kasih kepada saudari pengacara majlis

MUKADDIMAH

SURVIVAL PARTI DAN KETEGUHAN JIWA AHLI

1.Bersyukur kita kerana walaupun dalam suasana pandemik yang masih belum reda dan masih membimbangkan, kita telah diberi Allah kesihatan dan kelapangan masa untuk berkumpul dalam satu acara tahunan yang penting, iaitulah di Kongres Wanita Nasional Yang ke-15.

2.Saya mengalu-alukan semua pejuang Keadilan ke Kongres Wanita Nasioanl yangvke-15 ini iaitu satu perhimpunan nasional dan acara kemuncak untuk kita laksanakan proses muhasabah, menilai dan mencermin diri secara jamaiyy dan membuat “collective participation” demi kelangsungan parti yang mencapai usia 22 tahun ini.

2. Walau dalam segala bentuk keterbatasan, kita masih dapat berkumpul secara maya dan saya diberitahu kita telah menerima kehadiran Wanita seluruh negara melebihi 500 orang. Masya Allah, Alhamdulillah, Tahniah kepada semua. Ini sungguh membanggakan.

3. Pada saya, saudari-saudari semua kekal dan setia dengan prinsip dan “conviction” parti ini yang memiliki jiwa yang besar serta memilih untuk istiqamah menjunjung roh reformasi dan karamah insaniyyah.

Hadirin sekelian,

4. Dalam empoh 22 tahun ini, banyak rencah pelbagai mehnah dan tribulasi kita tempuhi, dari puncak Putrajaya sehinggalah episod-episod pengkhianatan dan kemelut perpecahan, pandemik yang meresahkan serta implikasi darurat yang rencam yang memberikan kesan langsung kepada taraf hidup rakyat.

5. Ayuh, kita buka lembaran baharu. Terlalu banyak perkara dan kerja yang kita perlu laksanakan. Kita berdepan dengan pelbagai masalah bersama yang menuntut penyelesaian.

PANDEMIK: CABARAN DAN OPTIMISME

Puan-puan, kakak-kakak dan adik-adik yang di kasehi,

6. Semua kita cukup terkesan dengan pandemik ini. Tiada siapa yang terkecuali. Dengan perisytiharan darurat dan parlimen yang tidak bersidang, ia benar-benar menguji tugas dan tanggungjawab kita membantu antara satu sama lain dalam tempoh yang sukar ini.

7. Negara kita Malaysia adalah antara negara yang paling rendah liputan vaksinasinya. Rakyat bimbang dengan kenaikan kes yang terus menerus meningkat sehingga melebihi 9 ribu kes baharu sehari, kes kematian mencecah setinggi 126 sehari dan kes aktif pula sudah menjangkau ke angka 80 ribu.

8. Kadar pendaftaran melalui program Imunisasi Covid19 Kebangsaan (PICK) pula, walaupun sudah meningkat kepada 100,000 inokulasi sehari, kerajaan harus lebih agresif dalam pemberian vaksin kepada rakyat. Negara harus segera mencapai Imunasi Kelompok (Herd Immunity). Apabila 75% atau lebih rakyat kita diberikan vaksin, In Sha Allah Malaysia akan keluar dan pulih daripada krisis pandemik ini.

9. Satu Tindakan yang cepat serta plan strategik ‘outreach’ yang baik dan jelas diperlukan untuk meningkatkan lagi kadar suntikan vaksin kepada rakyat. Ia harus melibatkan pelbagai pihak termasuk hospital swasta juga klinik perubatan awam yang mudah diaksesoleh anggota masyarakat.

PANDEMIK DAN EKONOMI RAKYAT

10. Ekonomi rakyat semakin terjejas. Harga barangan semakin meningkat. Pendapatan semakin meruncing. Simpanan semakin mengering. Kehidupan rakyat semakin menghimpit dan keluarga hidup sengsara.

11. Warga muda bergelut hidup, tanpa pekerjaan. DSAI memang prihatin tentang pengangguran dalam kalangan belia yang kini mencapai setinggi 13.4% setakat Mac 2021. Secara keseluruhan pula mengikut Jabatan Perangkaan Malaysia bilangan penganggur mencecah 753,200 dengan kadar pengangguran 4.7 peratus pada Mac 2021 juga

12. SOP “dua darjat” dan SOP yang tidak jelas dan sering bertukar dalam masa beberapa hari serta mengelirukan dan menyukarkan rakyat untuk merancang kehidupan mereka.Apatah lagi bagi mereka yang bekerja untuk menyara keluarga. Kini kita melalui fasa PKP 3.0, ramai yang terjejas pendapatan.

Pandemik ini mengajar kita untuk melihat situasi ini secara menyeluruh. Dan atas dasar itu kita memikirkan polisi-polisi yang boleh menangani dan menyelesaikan masalah.

KESIHATAN MENTAL, KEGANASAN RUMAHTANGGA DAN KEGANASAN BERASASKAN GENDER

13. Kesihatan mental rakyat juga semakin hari semakin parah. Kita maklum sebelum pandemic juga situasi ini pernah berlaku, tetapi ia semakin terjejas secara global akibat pandemik. Kita harus sentiasa‘concern’ atau risau dengan kejadian-kejadian tak diingini yang akan berlaku dalam masyarakat kita.

14. Saya ingin mengambil perhatian saudari sekalian dengan merujuk kepada beberapa statistik sosial yang membimbangkan saya dan betapa dasar-dasar sedia ada tidak cukup efektif membantu rakyat yang dalam kesempitan dan ditindas.

15. Amaran dunia khususnya UN dan UNICEF, berkaitan peningkatan keganasan rumahtangga dalam tempoh pandemik adalah sangat membimbangkan. Malah bagi menggambarkan betapa seriusnya kes keganasan rumahtangga dalam tempoh pandemik, ia digelar “Pandemik dalam Pandemik” dan “Intimate Terrorism” bagi menggambarkan betapa kritikalnya situasi tersebut. Negara kita tidak terkecuali.

16. Baru-baru ini kita dikejutkan dengan berita seorang bayi yang berusia 9 bulan maut di dera secara seksual oleh suami pengasuhnya.

17. Kemudian kes seorang isteri, yang merupakan ibu muda didera fizikal, mental dan emosi secara konsisten oleh suaminya sepanjang 8 tahun pernikahan mereka, telah meninggal dunia selepas 26 hari koma akibat pendarahan otak yang serius.

Innalillahi wainna ilay hirajiun.

18. Data-data juga menunjukkan terdapat peningkatan panggilan talian psikososial. Setakat Oktober 2020, Selangor melaporkan kenaikan 80 peratus dalam kes keganasan rumahtangga! Sayamenyeru agar kita mengambil inisiatif tegas dan melakukan advokasi dengan lebih hebat.

19. Inisiatif program dan aplikasi “Kawan Komuniti” yang dilancarkan Wanita Keadilan baru-baru ini adalah pendekatan yang baik untuk membantu masyarakat dalam langkah pencegahan dan bantuan kepada mereka yang berdepan dengan masalah. Ini memang usaha yang baik. Tahniah Wanita !

Saudari sidang kongres yang dihormati,

20. Semasa kita di Putrajaya, kita telah berpeluang membuat pelbagai dasar dan menyemak pelbagai undang-undang yang terkait rapat dengan keganasan berasaskan gender.

21. Di antara dasar paling kuat pernah kita angkat di peringkat nasional termasuklah memperincikan Garis Panduan Perkahwinan bawah Umur dan selanjutnya membawa kepada komitmen Negeri Selangor yang telah menjadi negeri pertama meminda Undangundang perkahwinan bawah umur khususya di bawah Enakmen Undang-undang keluarga Islam Negeri Selangor.

22. Inisiatif kita yang lain adalah terkait rapat dengan isu hangat yang sedang diperkatakan hari ini iaitu isu gangguan seksual. Statistik AWAM menunjukkan bahawa peningkatan kes gangguan seksual secara fizikal dan online meningkat setakat Januari- April 2021. Kita cukup komited dalam memastikan roadmap RUU ini
mendapat input dan akan dibentangkan mengikut jadual persidangan Parlimen.

PARLIMEN HARUS SEGERA BERSIDANG
Puan-puan yang saya kasehi,

23. Sudah hampir setengah tahun Parlimen tidak bersidang sejak sesi yang berakhir pada 15 Disember tahun lepas. Walaupun satu kenyataan istana Mac tahun ini bahawa DYMM YDPA berkenan untuk mengizinkan Parlimen bersidang, tetapi ia kekal ditutup oleh pentadbiran atas alasan Darurat.
24. Lantaran itu isu-isu rakyat tidak dapat dibahaskan dengan tuntas. Selain dari isu-isu yang saya gariskan di atas tadi tentang isu kesenjangan ekonomi, kesihatan mental rakyat, keganasan rumahtangga, anak-anak dan isteri maut di tangan pengasuh dan suami, isu pendidikan kita juga terus menjadi tumpuan tanpa penyelesaian yang mendasar dari kerajaan sekarang.

25. Masalah pendidikan bukan sahaja menyukarkan anak-anak kepada akses pembelajaran, tetapi semua pemegang taruh terkesan juga termasuklah ibu-bapa dan guru-guru.

26. Penutupan Parlimen juga telah tidak membolehkan negara menyatakan pendirian secara tegas terhadap isu-isu kemanusiaan sejagat seperti isu pemusnahan etnik dan dasar apartheid yang sedang dilakukan secara kejam oleh regim zionis Israel terhadap rakyat Palestine.

SOKONGAN YANG TERUS RELEVAN TERHADAP PARTI

Para wanita yang di kasehi,

27.Walaupun berdepan kemelut yang pelbagai, saya bangga dan bersyukur melihat keanggotaan kita semakin bertambah dari hari ke hari. Jumlah keanggotaan Parti Keadilan Rakyat juga semakin meningkat dari semasa ke semasa. Ini petanda bahawa parti kita masih relevant, dan mendapat tempat di hati rakyat.

28. Sebagai sebuah Parti Politik, Pilihanraya adalah wadah atau medan utama perjuangan ini. Sudah tentu menang adalah matlamat kita bila memasuki medan perang Pilihanraya. Untuk menang kita harus kekal relevan di hati rakyat. Untuk menang kita harus menjadi kelompok yang dipercayai rakyat dan dilihat sebagai mampu
memberi harapan penyelesaian masalah yang melanda .

29. Maka saya menyeru Wanita khususnya dan anggota parti umumnya, untuk terus meraih sokongan di kawasan masingmasing. Tambah ranting, tambah keanggotaan kita dalam kalangan rakyat, wanita dan anak-anak muda serta Srikandi. Kita raih sokongan ramai dan yang lebih penting supaya mereka faham dan menjiwai intipati perjuangan kita dalam keluarga besar keadilan.
30. Tahniah di atas usaha semua yang telah dan terus bekerja keras. Parti kini telah mempunyai sejumlah 2028 ranting seluruh negara, dan saya yakin usaha ini akan sama-sama kita lipatgandakan lagi. Jangan lupa PRU lepas lambang parti kita menjadi lambang yang memenangi pilihanraya.

WANITA SAYAP UTAMA PARTI, WANITA BANGKIT !!

Hadirin sekelian,

31. Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Wanita KEADILAN di bawah teraju YB Fuziah Salleh. Bertepatan dengan tema Kongres Wanita pada hari ini, iaitu “Wanita Beraspirasi Untuk Memberi Inspirasi” melihat KEBANGKITAN Wanita.

32. Parti ini lahir daripada perjuangan rakyat. Kita akan teruskan perjuangan murni ini bersama. Kita istiqamah dan konsisten dalam perjuangan ini dengan sikap sederhana mencari titik-titik persefahaman, bukan eksklusif. Dengan semangat inilah kita mahu seluruh ahli parti sentiasa bersikap terbuka, memiliki jiwa besar dan
menguasai adab bebeza pandangan yang menjadi teras dalam budaya dialog dan rundingan.

33. In sha Allah di Pilihanraya Umum yg akan datang akan lebih ramai lagi calon Wanita yang akan parti ketengahkan. Tetapi langkah ini bukan untuk mencabar kaum lelaki. Tetapi kita samasama permudahkan proses ini.

34. Saya ingin berkongsi sebuah kajian Harvard Business Review bertarikh June 2019 yang mendapati bahawa Wanita ada kelebihandalam beberapa perkara. Antaranya ialah dalam hal-hal mengambil inisiatif, mereka lebih resilent atau berdaya tahan, suka kepada pembangunan kendiri (self-development), berbuat sesuatu dengan didorong oleh keputusan, mempamerkan integriti yang tinggi serta jujur. Mereka juga dipercayai 84% lebih efektif dalam ukuran kompetensi. ditambah lagi dengan sifat semulajadi keibuan serta tahap kesabaran yang tinggi, wanita mampu menjadi pemimpin masyarakat dan pemimpin negara yang lebih perihatindan empati terhadap rakyat.

Saudari dan puan-puan yang dikasehi,

35. Aktivisma itu penting, turun ke padang itu penting, berjumpa rakyat itu penting tetapi wanita juga harus menguasai isu-isu dasar. Bila kita kelak berada dalam kalangan mereka yang menggubaldasar di Parlimen bahkan juga Dewan Undangan Negeri, wanita-wanita di luar sana khususnya dan masyarakat lain umumnya mahu kita menjadi suara mereka, cakna dengan isu-isu semasa dan mampu mencadangkan penyelesaian terbaik dalam permasalahan rakyat. Tapi yang paling penting juga, kesihatan diri, keluarga, temantemab tersayang, masyarakat dan negara.

Wanita perlu menguasai isu-isu dasar
36. Dalam kita terpaksa memenuhi peranan kita membangun masyarakat, wanita sering berdepan dilema. “Dual role” kita dan “work life balance”’ terkadang menuntut pengorbanan yang besar. Maka saya ingin berpesan, sentiasalah utamakan anak-anak dan keluarga kita, kerana anak-anak yang baik dan keluarga yang sejahtera adalah aset bukan sahaja kepada kita bahkan kepada masa depan negara.

PENUTUP

Wanita yang dikasihi sekelian

37. Ayuh sama-sama kita buang yang keruh dan ambil yang jernih.Negara pada ketika ini amat memerlukan kita untuk bersama-sama dalam menghadapi krisis yang sedang melanda.

38. Akhir kalam, saya mendoakan segala kebaikan buat kita semua.

Pergi Melaka membeli cincau,
Cincau dibeli berikat satu
Tanpa pengkhianat, tanpa pengacau
Kita berpakat, semakin padu !!

38. Dengan lafaz BIsmillahirrahmanirrahim, dengan ini saya merasmikan Kongres Wanita Nasional Yang ke-15.

Wabillahitaufiqwalhidayah. Wassalamuálaikum warahmatuLlah

DS Dr.Wan Azizah Wan Isnail
Penasihat Parti Keadilan Rakyat
Ahli Parlimen Pandan.

Post a Comment

0 Comments